Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pentas persembahan tertutup, Azadan cari rezeki di pasar raya

Sama seperti individu lain yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, beranggapan tiada apa perlu dimalukan apabila dia bekerja di sebuah pasar raya ketika ini.

Kata Azadan, tugasnya dalam bidang pemasaran di sebuah pasar raya di Sungai Buloh, Selangor itu dapat membantunya menampung keperluan harian dia sekeluarga apabila pendapatannya dalam seni persembahan mahupun khidmat sewaan sistem siar raya dihentikan gara-gara penularan Covid-19.

“Saya tak malu bekerja di pasar raya. Malah saya anggap tugas itu pekerjaan mulia kerana berpeluang membantu perniagaan seorang rakan yang juga seorang Muslim dan bumiputera.

“Ini juga satu peluang untuk menyantuni masyarakat di sekitar kawasan tersebut memandangkan saya turut dilantik sebagai ikon pasar raya berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Sebagai membantu masyarakat, tambah Azadan, pasar raya itu mengedarkan pek nasi campur yang mereka masak sendiri dan diedarkan di kawasan perumahan asnaf di sekitar Sungai Buloh.

Katanya, pada masa sama dia berpeluang mempraktikkan pengalaman yang dimiliki dalam media cetak bersama Rabbani untuk bekerja sebagai pengurus pemasaran dan promosi sewaktu bekerja di situ.

“Saya dan beberapa anggota Rabbani lain memang terjejas. Punca pendapatan kami memang bergantung pada persembahan dan sewaan peralatan sistem bunyi saja.

“Alhamdulillah, kita kena jalani hidup seperti biasa. Jangan letakkan masalah di depan walaupun PKP dilaksanakan. Berusahalah dan berdoa, insya-Allah akan dibukakan pintu rezeki itu," katanya.

Cari sungguh-sungguh

Tambah Azadan dia memang berdoa agar dapat melakukan sesuatu bagi membolehkannya terus membayar komitmen bulanan seperti sewa rumah.

"Orang rumah saya pula boleh mengajar, justeru, lepaslah duit lauk,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas inisiatif bendera putih - satu kempen bagi membantu golongan miskin - Azadan berpendapat, sewajarnya jangan dibiarkan golongan susah sampai merayu untuk diberikan bantuan.

Katanya, lebih baik sekiranya golongan yang berkemampuan turun padang serta mendekati masyarakat miskin yang memerlukan melalui inisiatif berbeza.

“Di saat orang susah itu diuji, jangan suruh dia tonjolkan diri. Pasti dia juga ada perasaan malu kerana melibatkan maruah untuk kibarkan bendera putih.

"Sebaliknya, kita yang ada kemudahan inilah yang perlu bersunguh-sungguh mencari mereka,” katanya.

Buat mereka yang tiada halangan, menurut Azadan, wajarlah terlebih dulu mencari ikhtiar sebelum menggunakan bendera putih sebagai talian hayat terakhir.

“Negara pernah alami fasa kejatuhan ekonomi, alhamdulillah walau kritikal diuji dengan Covid-19, banyak syarikat, NGO mahupun individu menggembleng tenaga untuk beri bantuan pada orang susah.

“Negara kita juga menyediakan bantuan zakat di setiap negeri, selain itu, bertanya dulu pada jiran atau keluarga yang lain untuk dapatkan bantuan daripada terus mengibarkan bendera putih,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS