Inessa Irdayanty mengakui terkilan apabila dilempar pelbagai tohmahan termasuk kononnya membiarkan abangnya, Allahyarham Benjy, merana dalam penjara.
Tuduhan itu dibuat seorang pengguna akaun Instagram - yang juga ‘aktres’ - hanya beberapa hari selepas Benjy dikebumikan di Medan, Indonesia.
Kata Inessa, dia tidak dapat membiarkan saja perkara itu berlalu memandangkan pengguna akaun tersebut turut mengaitkan tuduhan terbabit dengan anggota keluarga yang lain.
“Astaghfirullahaladzim. Aku tak habis menangis, tanah kubur abang aku masih merah lagi, tapi kau boleh tanya aku benda macam ni?
“Mula-mula tak nak layan, tapi bila kau petik nama kakak dan mak aku dalam hal ni, kau memang cari fasal.
“Di profil tulis takziah, you’re my idol, tapi lepas tu dekat aku tergamak tulis macam tu,” katanya sambil mengiringi hantaran berkenaan dengan bukti paparan mesej langsung (DM) daripada individu terbabit di media sosial.
Inessa berkata, individu itu tidak mengetahui kepayahan perlu diharungi mereka sekeluarga demi menjaga kebajikan Benjy sewaktu dia berada dalam tahanan di Indonesia.
“Kau tahu ke berapa banyak (RM) kakak aku bagi kat Ben tiap-tiap bulan? Kau tahu ke kakak aku buat sampai tujuh pekerjaan dalam satu masa. Masuk hospital banyak kali sampai kena suruh berhenti kerja sebab dia nak bagi duit pada abang aku?
“Kau tahu ke barapa kali kakak aku nak bunuh diri sebab tertekan jaga abang aku? Kau tahu ke abang aku pernah hampir meninggal dunia masa di Kuala Lumpur?
"Aku dan suami aku yang tolong dia sihat semua sampai boleh hidup normal!” tulis Inessa marah.
Pernah minta maaf
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim menghembuskan nafas terakhir disebabkan asma kronik di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada 11 Julai lalu.
Pada 2017, mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas pelakon yang terkenal dengan wataknya sebagai Jibek dalam Kerana Cintaku Saerah itu selepas dia didapati bersalah cuba menyeludup dadah.
Individu itu turut memetik nama ibu Benjy iaitu Allahyarham Azean Irdawaty yang pasti bersedih sekiranya mengetahui perbuatan adik-beradiknya terhadap arwah semasa hayatnya.
Inessa berkata, sememangnya Benjy pernah meminta maaf atas apa yang berlaku dan dia juga sendiri pernah berkali-kali memohon keampunan daripada abangnya kerana tidak mampu membantu lebih banyak.
“Kau tahu ke berapa kali aku menangis minta ampun dekat abang aku sebab aku tak mampu tolong lebih?
“Kau tahu ke berapa kali abang aku yang minta maaf dekat aku untuk semua yang terjadi? Kau tak tahu apa!
“Kau cakap; jika mak aku tahu perbuatan kami. Percayalah, jika mak aku baca DM kau, dua-dua belah muka kau dah kena tampar dah! Kau tak tahu apa-apa,” katanya.
Pun begitu, Innesa berkata, dia tidak dapat mengesahkan sama ada mesej yang diterima melalui DM itu benar-benar datang daripada akaun asli milik pelakon wanita terbabit.
“Saya tak tahu jika tuduhan ni datang daripada akaun sah atau akaun palsu,” katanya.