Pelakon terkenal Indonesia Nia Ramadhani yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah kelmarin mengakui dia sebenarnya pernah ditawarkan bahan terlarang itu sejak usia 14 tahun.
Bahkan katanya sebelum ini, dia yakin tidak mungkin akan terjebak untuk mengambil bahan tersebut kerana percaya semuanya bergantung atas diri sendiri serta didikan orang tua yang berkesan.
“Dalam dunia selebriti semuanya sudah bermula dari saya berumur 14 tahun, dunia sebegitu sudah ada kok. Dunia narkoba (dadah). Itu bergantung pada iman masing-masing.
“Di saat penggambaran, ada pelbagai perkara timbul, pasti ada juga yang menawarkan (dadah) cuma, ia bergantung bagaimana asuhan orang tua dan seterusnya diri sendiri,” katanya dipetik Tribunnews.
Pelakon Bawang Merah Bawang Putih itu berkata demikian sewaktu dia diwawancara bersama media pada 2018.
Terdahulu, Nia dan suaminya - ahli perniagaan dan anak bekas menteri ekonomi Indonesia, Aburizal Bakrie - Ardi Bakrie (gambar, bawah) ditahan di Jakarta Pusat kelmarin selepas didakwa mengambil dadah jenis syabu.
Turut beredaran di Twitter sejak semalam, imej yang dipercayai wajah terbaru Nia, 31, yang kelihatan lebih cengkung berbanding biasa.
Kata Nia, dadah bukan hanya terdapat di tempat hiburan atau kelab malam semata-mata, ia diedarkan dalam kalangan rakan-rakan selebriti hingga ke lokasi penggambaran.
“Dari saya kecil ditawarkan dadah, cuma bukan di kelab malam saja. Jika ingin takut dengan dadah, tu semua bergantung pada diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Yusri Yunus mendedahkan, pelakon berkenaan membeli syabu tersebut pada harga 1.5 juta rupiah atau RM431.
“Nia dan Ardi mengaku mereka sudah mengambil bahan terlarang itu selama lima bulan, termasuklah pemandu peribadi mereka,” katanya.