Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bekas anggota kumpulan nasyid Rabbani, Azizan Khalid, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), jam 10 pagi semalam selepas mengadu sesak nafas.

Ketua Kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, dia dimaklumkan Allahyarham sebelum itu mengalami demam sejak lima hari lalu.

Menurutnya, Allahyarham juga sepatutnya menerima keputusan hasil ujian saringan Covid-19 hari ini - sebelum dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Selepas mengambil sarapan pagi kira-kira 8.30 pagi, Azizan mengadu sesak nafas dan dia terus dikejarkan ke hospital. Dia sebelum tu alami demam.

“Namun, lepas doktor masukkan air ke dalam badannya (drip) Isnin lalu, demamnya masih tak kebah-kebah.

“Justeru, kelmarin Allahyarham diminta jalani ujian calitan Covid-19, selepas tu dia diberikan gelang merah jambu untuk jalani kuarantin di rumah,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.

Kata Azadan, ketika ini, doktor masih belum memaklumkan keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian Azizan.

“Sekiranya Allahyarham meninggal dunia disebabkan Covid-19, anggota keluarga tak dibenarkan berjumpa. Namun, jika dia bebas jangkitan Covid-19, pihak keluarga boleh bersama uruskan jenazahnya.

“Pihak hospital maklumkan isteri dan anak arwah juga perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah pada waktu ni.

“Sekarang doktor masih melakukan bedah siasat untuk tahu punca kematian sama ada disebabkan oleh serangan jantung ataupun virus Covid-19,” katanya.

Ditanya sama ada Azizan mempunyai sejarah penyakit kronik, Azadan menjawab: “Setahu saya tak, tapi pernah suatu ketika dulu dia rebah sewaktu mengadakan persembahan di Muar, Johor Bahru.”

Difahamkan, jenazah Azizan akan dikebumikan di kampung halamannya di Behrang, Perak.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya sebagai seseorang yang pernah mengenali Azizan, Azadan berkata, dia terharu kerana Allahyarham baru saja kembali muncul untuk menyertai NGO kumpulan nasyid NadaMurni bersama-sama dengannya.

Katanya, Azizan menyertai Rabbani pada 1997 hingga 2001, namun keakraban mereka terjalin sebelum itu lagi iaitu sewaktu mereka sama-sama menuntut di Jordan serta menyertai Nada Murni.

“Saya rasa terharu dan sedih, sebab dia baru saja muncul semula dalam industri. Dia sebelum ni buat kerja-kerja freelance selepas keluar Rabbani pada 2001.

“Arwah antaranya menyertai teater, rumah produksi dan NGO Kumpulan Anak Soleh Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS