mk-logo
Seni & Hiburan
Nia Ramadhani, anak bekas menteri ditahan kes dadah
Diterbitkan:  Jul 8, 2021 12:29 PM
Dikemaskini: Jul 9, 2021 5:26 AM

Pelakon terkenal Indonesia, Nia Ramadhani dan suaminya, Ardi Bakrie ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Penangkapan pasangan berprofil tinggi itu disahkan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Polis Metro Jaya, Jakarta Tengah, Yusri Yunus hari ini.

“Kami sedang menjalankan siasatan ke atas kedua-dua suspek di Ibu Pejabat Polis Jakarta Pusat,” katanya dipetik VOI.

Yusri turut mengesahkan polis menemui dan merampas bahan bukti iaitu methamphetamine.

“Ya, ya (methamphetamine),” katanya menjawab soalan wartawan.

Nia - atau nama penuhnya Prianti Nur Ramadhani - merupakan aktres yang terkenal melalui pembabitannya dalam sinetron seperti Bawang Merah, Bawang Putih dan filem Suster Ngesot serta Hantu Jembatan Ancol.

Ardi pula anak kepada bekas pemimpin tertinggi Golkar serta bekas menteri ekonomi Indonesia, Aburizal Bakrie.

Yusri bagaimanapun enggan mengulas lebih terperinci butiran penangkapan itu, termasuk jumlah bahan rampasan.

Katanya, siasatan masih dijalankan terhadap pasangan terbabit dan maklumat lanjut hanya akan didedahkan selepas siasatan berakhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS