Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelobi #boikotFFM31 tak faham, kata pengerusi Finas

Pelbagai inisiatif dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak Mei 2020 untuk membantu industri.

Antaranya kata Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid, menyokong persatuan-persatuan menganjurkan program bantuan makanan untuk mereka yang memerlukan.

Kenyataan itu dikeluarkan Zakaria sebagai reaksi kepada gerakan beberapa pihak yang membantah penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) melalui kempen #boikotffm31 yang dimulakan awal bulan ini.

Terbaru, menurutnya, pada minggu depan Finas akan memulakan inisiatif mengedarkan bakul makanan kepada ahli persatuan-persatuan penggiat seni yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kami ambil maklum tentang kelompok kecil yang menjalankan kempen #boikotffm31 di media sosial atas alasan suasana sukar akibat pandemik sekarang.

“Kami hormati hak bersuara setiap individu dan prihatin dengan masalah yang melanda, bukan saja kru industri seni tetapi seluruh rakyat Malaysia, malah seluruh dunia.

“Namun, skop kebajikan yang kami jalankan adalah terhad kerana Finas tidak boleh mengambil tugas agensi-agensi lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Zakaria, Finas juga tidak boleh menyalurkan bantuan tunai one-off kepada warga seni kerana agensi itu terikat dengan Akta Finas 1981.

Jadi agenda utama

Pada masa sama, katanya, telah ada agensi lain yang menyalurkan bantuan wang tunai kepada seluruh rakyat yang layak termasuk warga seni.

“Banyak inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaat oleh warga seni sebagai rakyat Malaysia seperti bantuan untuk golongan B40, moratorium, i-Citra, dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan gesaan beberapa selebriti yang menyuarakan bantahan terhadap penganjuran festival yang dijangka diadakan secara maya pada Okt depan.

Mereka yang membantah antaranya adalah Afdlin Shauki, seorang pengarah dan pelakon yang menyifatkan pelaksanaan program berkenaan sebagai tidak wajar berikutan ramai lagi penggiat seni yang boleh memanfaatkan dana diperuntukkan kerajaan untuk agensi tersebut. 

Bagaimanapun, setakat ini, program yang sudah beberapa kali ditangguhkan sejak tahun lalu ekoran situasi Covid-19 dalam negara itu belum ada tarikh rasmi bila ia akan direalisasikan.

Zakaria berkata, usaha membantu penggiat industri seni terus menjadi agenda utama Finas, antaranya menyalurkan dana RM46.9 juta kepada 81 syarikat produksi terpilih.

“Ia untuk menggerakkan ekonomi industri perfileman melalui kerja-kerja penggambaran yang akan membuka peluang pekerjaan dan pendapatan untuk kru dan pekerja belakang tabir.

“Finas juga sedang berunding dengan Majlis Keselamatan Negara untuk merayu diberi kebenaran menjalankan penggambaran dengan segera serta memohon Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membuka Pusat Pemberian Vaksin di Ibu Pejabat Finas di Ulu Klang,” katanya.

Menurut Zakaria, pihak yang menggesa agar FFM31 diboikot tidak faham apa yang ingin diketengahkan agensi terbabit.

“Finas sebagai agensi pelaksana kerajaan harus sentiasa proaktif, berpandang jauh dan kreatif menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Mereka sebenarnya tak membaca kenyataan Finas mengenai FFM31 bahkan menyamakan majlis tu seperti pesta-pestaan, sedangkan ia sebenarnya mempunyai pelbagai kelainan yang lebih ilmiah dan akademik, bukan sekadar pesta glamor dan karpet merah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS