Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

CERPEN SATIRA | Sebatang paku tertancap pada belakang tengkuknya tembus ke kerongkong hadapan. Matanya terbeliak.

Had merenung sungguh-sungguh. Anak mata wanita itu kebiru-biruan namun tidak menunjukkan sebarang kesakitan pun. Malah seperti merenung seseorang dengan penuh kasih.

“Bila masa kematiannya?” tanya Had. Tak siapa yang terus menjawab. “Bila mayat dijumpai?” tanya Had sekali lagi.

“Subuh-subuh lagi, tuan. Batin Asu yang jumpa,” jawab salah seorang anggotanya. “Itu pun Batin Asu datang...”

Batin tua itu tidaklah setua umurnya. Dia masih cergas berjalan tanpa kasut di denai kecil tepi tasik itu. Dia tersenyum dan mengangguk tanda hormat kepada Had.

“Tuan hendak bawa mayat ke hospital?” tanya Batin Asu.

“Masih belum selesai ambil gambar, batin,” beritahu Had. Seorang jurugambar polis sibuk menjalankan tugas merakam keadaan mayat itu dari semua sisi, terutama sebatang paku yang menembusi tengkuk wanita itu.

“Batin kenal wanita ini?” tanya Had memandang tepat ke anak mata Batin Asu. Begitulah selama ini jika Had menyoal siasat saksi. Dia tidak ingin terlepas setiap detik, setiap riak pada wajah yang mungkin menjelaskan sesuatu.

Pejam-pejam Batin Asu mahu menjawab soalan itu. “Siapa tak kenal dia, tuan. Semua orang di sini kenal,” jawabnya sambil memandang keliling. Tiga Orang Asli yang ada bersamanya mengangguk.

“Berapa umur wanita ini?” tanya Had. “Namanya siapa?”

“Tua daripada aku dia ini, tuan,” jawab Batin Asu cepat.

Terbeliak mata Had. Berkali-kali merenung mayat wanita itu. Masakan... Had masih sukar untuk percaya. Jika dilihat raut wajah dan tubuh Batin Asu, lelaki itu sudah melepasi usia 60-an. Masakan wanita itu jauh lebih tua.

Tas tangan bawah perut

Sekali pandang, dilihat pada susuk tubuhnya, Had menganggarkan usia wanita itu tidak mungkin menjangkau 30 pun. Mungkin 23 tahun, atau paling tua, 26 tahun.

“Ada tas tangan di bawah badannya,” tunjuk jurugambar polis.

Had tunduk, mengeluarkan sarung tangan dari poket bajunya. Setelah memakai sarung tangan, dia mengenakan pelitup muka pula.

“Hati-hati, wabak Covid-19 sedang mengganas. Kita tak tahu mayat ini bersih atau tidak,” Had mengingatkan. Seorang anggota terus mengagih-agih pelitup muka dan sarung tangan.

“Namanya apa, batin?” tanya Had sekali lagi.

“Cik Onti. Er... aku nak cakap sikit dengan tuan. Sebab itu aku datang,” kata Batin Asu sungguh-sungguh.

“Sekejap batin, saya nak lihat isi tas tangan wanita ini, Cik Onti ni. Mungkin ada pengenalan diri,” Had menarik tas tangan yang terhimpit di bawah perut mayat. Ada tanah yang sedang mengering terlekat pada tas itu tapi dibiarkannya.

Had membuka penutup tas tangan dan melihat isinya.

“Duitnya tidak diusik. Kad bank juga ada. Kad kredit, kad pengenalan semua ada,” kata Had. Kad pengenalan itu diteliti. “000101. Bermakna dia lahir tahun 2000. Masih muda ni, batin,” kata Had. Dia sedang berfikir bagaimana Batin Asu mahu menjelaskan wanita itu jauh lebih tua daripadanya.

“Mana tuan tahu Cik Onti lahir tahun 2000? Mungkin tahun 1900, atau tahun 1800, mungkin juga tahun 1700...” sanggah Batin Asu bersungguh.

“Jangan bergurau depan mayat, batin,” kata Had sambil ketawa kecil. Anggota polis lain yang ada di situ turut ketawa. “Mana manusia boleh hidup sepanjang itu...”

Berubah wajah Batin Asu. “Aku nak balik, tuan. Banyak kerja di kampung. Cuma sebelum tu aku hendak ingatkan, apa-apa pun berlaku jangan tuan cabut paku itu. Tanam mayat ini dengan paku sekali. Jangan dicabut,” keras amaran Batin Asu. Dia berpaling dan meninggalkan tempat itu. Had dan anggotanya hairan.

“Paku ini barang kes, punca kematian... mana boleh tak dicabut,” ujar Had.

Seorang anggota polis yang sudah menghampiri usia pencen, Pak Din, menghampiri dan berdiri hormat di hadapan Had.

“Tuan!”

“Cakap, Pak Din. Saya dengar,” Had memberi kebenaran.

“Saya pilot sahaja, tuan. Saya minta maaf. Sebagai orang tua, saya rasa elok tuan pertimbangkan kata-kata Batin Asu tadi,” pinta Pak Din.

Had terdiam. Walau Pak Din orang bawahannya, dia tetap menghormati orang tua itu. Pak Din anggota bawahan yang selalu mengisi waktu di surau balai. Dia juga sering menepati waktu malah lebih tepat daripada pegawai bertugas sendiri.

Gambar hiasan

“Pak Din percaya kata-kata batin itu?”

“Tuan, cuba tengok nama dan alamat kad pengenalan tu,” kata Pak Din.

“Onti anak Cantik. Nama Orang Asli. Alamatnya, Jalan GAP, 44000 Kuala Kubu Bharu.... di mana Jalan GAP?” Berkerut dahi Had. Itulah pertama kali dia mendengar nama jalan itu.

“Nama asal Jalan Pahang,” jawab Pak Din. “Cuba tuan tambah huruf 'P' di depan nama wanita tu...”

“Hurm.... Ponti anak Cantik. Eh Pak Din jangan main-main.” Sekarang tiada siapa yang mahu tersenyum atau ketawa.

“Saya tunggu di kenderaan, tuan. Kalau ada apa-apa, tuan panggil saya,” Pak Din meminta diri. Dia berjalan mendaki denai. Pengusung telah dibawa ke tempat kejadian. Mayat perlu diusung naik mengikut denai itu menuju ke kenderaan di tepi jalan raya. Pak Din akan menunggu di sana.

“Panggil Batin Asu ke mari semula. Katakan saya minta maaf dan minta pertolongan,” arah Had. Suaranya sudah kendur dan kini sarat dengan kebimbangan.

Kena bedah siasat

Seorang anggota berlari anak mendaki denai dan menghilang di sebalik rumpun buluh yang tumbuh meliar di tepi empang besar itu. Sementara menunggu Batin Asu sampai, Had duduk di atas batu. Namun matanya tidak lepas daripada memandang mayat wanita itu.

Orangnya cantik. Bentuk tubuhnya menarik meskipun sudah menjadi mayat. Raut wajah dan tubuh wanita itu langsung tidak merujuk kepada Orang Asli.

Namun itu tidaklah begitu menghairankan kerana memang ada Orang Asli yang tidak beragama atau beragama yang berkahwin dengan orang luar, khususnya orang bandar yang sering berhibur di kawasan perkelahan itu.

Had memang biasa mendengar cerita tentang pontianak sewaktu zaman kanak-kanaknya. Malah filem-filem klasik Melayu dan moden juga ada menayangkan kisah pontianak.

Pontianak tidak dapat dipisahkan dengan paku. Kononnya jika tengkuk pontianak dipaku, susuknya akan bertukar menjadi wanita cantik. Jika dicabut pula, keadaan sebaliknya akan terjadi.

“Itu hanya fiksyen,” gerutu Had. Dia sekarang sedang menghadapi kes bunuh. Kena buka kertas siasatan. Kena lakukan bedah siasat. Dan bermacam-macam perkara berkaitan kes pembunuhan yang bermain di fikirannya.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi orang bercakap-cakap menuju ke tempat kejadian. Anggota polis tadi muncul bersama Batin Asu dan Pak Din. Dua Orang Asli yang lain turut serta di belakang.

Had bangun dan menyambut Batin Asu. “Saya minta maaf kerana berperangai tidak sepatutnya kepada batin tadi.”

Batin Asu mengangguk dan tersenyum. Ternyata orangnya tenang, sesuai dengan peranannya menjadi ketua kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Gambar hiasan

“Ada perkara yang tuan ingin tahu lagi?” tanya Batin Asu.

“Cik Onti ini, rumahnya di mana? Dia tidak berkeluargakah?”

“Dia dah berkahwin beberapa kali. Suaminya ada yang dah mati, ada yang bercerai. Tapi semua suaminya bukan Orang Asli,” beritahu Batin Asu. “Paling akhir ada seorang Melayu muda jadikan dia isteri nombor empat.”

“Bagaimana dia boleh berkahwin dengan orang Melayu? Dia Islamkah?” tanya Had musykil.

“Kami kahwinkan ikut adat. Ada yang nikah tulis di pejabat. Ada yang nikah dalam talian,” jawab Batin Asu. Dia menarik nafas panjang. “Hal nafsu ni tuan, tak kira apa bangsa, apa anutan. Apabila sudah mahu, tengah malam pun dia sanggup kahwin. Kami kahwinkan ikut adatlah. Tapi sekarang dah boleh kahwin online, daftar dalam talian. Kami Orang Asli tak campur.”

“Sah ke kahwin gitu, Pak Din?” tanya Had. Dia baru mendengar tentang perkahwinan dalam talian. Pak Din hanya menggeleng. Jelas orang tua itu tidak bersetuju dan faham hukum-hakam agama.

“Kami tahu siapa dia, jadi tak ada siapa mahu berkahwin dengan hantu kecuali orang yang hidupnya maca hantu...” Kata-kata Batin Asu itu tidak ada sesiapa mahu membantah.

“Beginilah, batin... Pak Din... Saya kena bawa mayat ini ke hospital. Kena buat bedah siasat. Saya kena cabut juga paku ini. Kalau tidak, beg mayat boleh terkoyak. Kalau tak cabut sekarang, bedah siasat nanti, paku ini akan dicabut juga,” terang Had menarik nafas panjang.

Batin Asu berpandangan dengan orang-orangnya. Dia duduk di tanah dan dua orang lagi duduk rapat di belakangnya bertemu punggung. Masing-masing memandang bertentangan arah.

Had berjalan mendekati mayat, memanggil anggotanya membawa beg mayat dan pengusung. “Minta maaf, saya hanya jalankan tugas,” bisik Had sendirian. Memang selalunya dia begitu.

Had menyelak rambut mayat yang lembut itu, menyerlahkan tengkuk yang putih bersih. Dengan sekali sentap, paku sepanjang 5 inci itu pun tercabut. Dia mengeluarkan sumpit plastik dari sakunya untuk menyimpan paku berkenaan.

Belum sempat paku itu dimasukkan ke sumpit plastik, anggotanya riuh rendah. Mayat Onti bergerak-gerak. Had melompat ke belakang.

Mula-mula tangannya sedikit, kemudian kepala mendongak. Tangan itu mengusap tengkuk yang berlubang. Onti perlahan-lahan bangun dan cuba berdiri. Terhuyung-hayang. Dia seolah-olah terlalu lama terbaring kaku hingga segala sendi-sendinya keras. Onti kemudian memandang sekeliling, merenung setiap orang.

Beberapa orang anggota mengeluarkan pistol yang tersisip di belakang pinggang. Hanya Had, jurugambar dan Pak Din yang tidak bersenjata.

“Jangan buat apa-apa,” Had memberi amaran kepada anggotanya.

Onti melompat tinggi, naik ke dahan pohon seraya yang tegak di tepi empang besar itu. Dia mengilai dari atas pokok itu. Bunyi itu meremangkan tengkuk masing-masing. Ada yang mengacukan pistol dan bersedia meletus jika Onti menyerang.

Onti menggoyang-goyang dahan pokok seraya sebelum melompat ke pohon-pohon lain lalu menghilang.

Had menyapu peluh di mukanya. “Batin...” dia memanggil. Batin Asu tidak menghiraukannya. Batin itu sedang khusyuk membaca mantera.

“Saya rasa kita sudah selamat,” kata Had lalu duduk. Lututnya terasa lemah dan tubuhnya tidak bermaya. Seumur hidupnya tidak pernah dia mengalami peristiwa seperti itu.

Ketika Had dan anggotanya tiba di kenderaan, seorang lelaki sedang menunggu. Batin Asu berbisik kepada Had, “inilah suami atas talian Cik Onti.”

“Saya sudah membunuh isteri saya. Kami bergaduh dan saya tak sengaja memukul belakang tengkuknya,” akui lelaki itu. “Mana mayat isteri saya, tuan?”

“Hurm, carilah dalam online...” jawab Had lalu menutup pintu kenderaan. Pak Din memutar kunci menghidupkan enjin.

“Tuan! Tangkap saya! Tuan, tangkaplah saya!”

Kenderaan polis terus bergerak dan suami Onti menjerit-jerit bagai dirasuk syaitan.


MOHAMAD KHOLID HAMZAH seorang penulis anekdot, cerpen dan novel yang prolifik. Antara novel terkininya ialah Celam Celum Kuala Kubu, Awan Menggulung Banjaran, Kelekati Pun Bersayap dan Memoir Tahanan Perang Covid-19.

Tulisan ini adalah rekaan semata-mata dan bertujuan untuk hiburan saja. Ia tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS