ULASAN | Masa umur ambo lapan tahun - atau darjah dua - pilihan raya umum (PRU) yang ke tiga diadakan. Pada 1969 itu ambo dah faham makna mengundi.
Ayah yang dilantik sebagai Tok Ngulu pada 1968 adalah wakil parti dalam kampung. Pada masa itu Kelantan di bawah kerajaan PAS. Datuk Asri Muda jadi menteri besar.
Melihat kerja kerja ayah dalam parti membuatkan saya lebih awal memahami politik. Takutnya saya pada keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno yang sangat agresif.
Saya takut dan bimbang kalau-kalau ayah jadi mangsa. Saya juga takut kepada polis yang lebih berpihak pada kerajaan Perikatan (yang menjadi kerajaan pusat) ketika itu.
Pernah ayah tidur di rumah sepupunya yang bujang setiap malam ketika menjelang PRU. Ayah bertindak begitu disebabkan ramainya aktivis PAS yang ditangkap waktu tengah tidur ketika itu.
Ambo jadi lebih takut apabila Abdul Samad Gul Ahmad dibunuh di Kota Bharu selepas berakhirnya ceramah politik. Sewaktu dia membuka pintu keretanya, sebilah kapak singgah di kepala.
Ayah kecewa dan tidak bersetuju PAS bergabung dengan Umno dan tertubuhnya BN pada 1973. Maka pada PRU kali itu ayah boikot. Ayah bawa kami sekeluarga ke Kemaman pada hari mengundi.
Ayah sudah tidak lagi bekerja seperti PRU sebelum-sebelum itu. Dia ke Kemaman membawa adik berjumpa doktor di sebuah klinik. Adik ada asma. Klinik itu pula memang tersohor untuk merawat sakit asma.
Dibuang kerajaan baru
Ayah sengaja pilih hari mengundi untuk membawa kami ke Kemaman. Ambo sedar kecewa yang dialami ayah.
Pada 1977 (umur ambo 16 tahun) berlaku rusuhan rakyat Kelantan hingga membawa kepada berpecahnya PAS dari BN. Pada hari berlakunya rusuhan itu, ayah, ambo, abang, dan Ho Yo Ming (kawan ayah) ke Singapura.
Ho Yo Ming jadi drebar. Kami pergi menyambut abang sulung ambo yang baru pulang dari Australia. Dia navy (tentera laut) dan berpangkalan di Woodlands.
Di dalam kereta kami hanya dengar berita dari radio saja. Kami mendapat tahu Kelantan telah di 'Magerankan'.
Pada ambo, berdasarkan dua peristiwa di atas nampak ayah ambo tetap lebihkan keluarga berbanding politik. Peristiwa itu juga membawa perpecahan PAS dengan BN.
Apabila tamat Mageran, PRU awal diadakan di Kelantan. Ayah kembali berjuang untuk PAS semula. Pada masa itu juga tertubuhlah Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia) iaitu parti serpihan PAS.
Berjasa dipimpin oleh bekas menteri besar Kelantan yang digulingkan melalui undi tidak percaya iaitu Datuk Muhamed Nasir. PAS pula kalah dalam PRU tersebut.
Ia membolehkan BN kembali memerintah Kelantan. Ayah ambo adalah seorang daripada lebih 400 Tok Ngulu yang dibuang oleh kerajaan baru ketika itu.
Jadi macam mana ambo tak mengikuti perjalanan politik di Kelantan. Bayangkan, orang Kelantan berpolitik setiap hari, setiap tempat, tak pernah stop.
Bercakap dan bekerja atas nama politik sejak dari hari keputusan pilihan raya membawa kepada pilihan raya yang berikuatnya. Balik semula macam itu juga. Putarannya tak pernah putus.
Tak berpegang pada parti
Ambo terlepas dari putaran itu apabila datang bekerja di Kuala Lumpur pada 1982. Maka ambo berada dalam kawanan baru yang tak peduli politik.
Di Kuala Lumpur orang tak bercakap tentang parti. Maka perlahan-lahan pikiran ambo dicuci. Tambah pula apabila terlibat dalam dunia seni. Lalu ambo lupa terus pada minat politik.
Orang Kuala Lumpur mula bercakap politik apabila kes Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad berlaku pada 1998. Baru ambo dengar dan tahu orang Kuala Lumpur mula minat dengan politik.
Malah mereka turun padang untuk berdemonstrasi. Dari tarikh itu sampai hari ini panas politik di Kuala Lumpur tak pernah surut-surut. Sedang ambo sudah bunuh rasa minat ambo pada politik.
Sampai hari ini politik mati dalam hidup ambo.
Pada PRU lalu adalah kemuncak rasa tak percaya ambo kepada politik kepartian di negara kita. Oleh itu ambo tidak akan menyokong atau pun memusuhi mana-mana parti.
Apa yang mereka buat baik ambo sokong, yang rasa tak baik ambo tak sokong. Ambo tidak berpegang pada satu parti.
Suara ambo (kalau adalah) merupakan suara rakyat pada pemerintah, bukan suara parti kepada parti lawan. Ambo adalah pengundi yang belum pernah gagal jalankan amanah.
Politik Malaysia sangat membimbangkan saat ini.
SABRI YUNUS ialah pengarah, pelakon dan seniman.
Tulisan ini asalnya dimuat naik di media sosial Sabri dan disiarkan di sini dengan izin. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.