Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Bakal mak mentua pernah salah anggap Deja Moss penari gelek

Kerana kerjayanya sebagai penyanyi, Deja Moss mendedahkan, perkahwinan dia dengan lelaki berketurunan Amerika-Syria hampir tidak menjadi kenyataan suatu ketika dulu apabila bakal ibu mentuanya keberatan menerima hubungan mereka.

Kata Deja Moss, ketika itu bakal mentuanya beranggapan, kerjaya sebagai penyanyi di negara ini sama seperti penari gelek di negara-negara Arab.

“Masa nak berkahwin dengan suami, ibunya memang tak tahu saya seorang penyanyi.

“Dalam budaya mereka, seseorang selebriti wanita atau penyanyi wanita mungkin boleh disamakan seperti penari gelek di Arab,” katanya.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss berkata, dia juga pada awal menyembunyikan latar belakang kerjaya sebagai penghibur daripada suaminya Maher Khani.

“Saya pula sembunyikan gelaran tu dan hanya memaklumkan pada dia bahawa saya seorang ejen hartanah. Masa tu memang belum bersedia nak bagi tahu dia apa-apa lagi,” katanya.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss berkata demikian pada sidang media pelancaran buku autobiografi miliknya yang berjudul Hidupku Takdirku yang diadakan secara maya kelmarin.

Untuk rekod, Deja, 47, berkahwin dengan Maher dua tahun lalu.

Bagaimanapun, penyanyi itu hanya mendedahkan berita perkahwinannya kepada umum selepas beberapa bulan dia bergelar isteri kepada ahli perniagaan tersebut.

Penyanyi Asmara itu pernah bercerai dengan Azfendy Azzuddin pada 24 Oktober 2018. Mereka melangsungkan pernikahan pada 30 Ogos 2008.

Berkongsi lanjut, Penyanyi Terbaik Asia, Festival Muzik Asia 2005 itu berkata, lain pula halnya yang terjadi selepas dia memberanikan diri untuk membuka cerita mengenai siapa dirinya kepada Maher.

Menurutnya, Maher sangat terkejut selain mula berasa sangsi untuk meneruskan pernikahan mereka pada ketika itu.

“Suami saya kata, dia hanya mahukan wanita biasa-biasa saja dan yang paling penting berhijab, bukannya seorang selebriti yang perlu muncul di kaca televisyen atau hadir di mana-mana untuk buat persembahan.

“Namun, selepas menjelaskan saya bukanlah seperti wanita yang dulu atau yang dia jumpa dalam capaian Internet, suami kembali menaruh kepercayaan kepada saya,” katanya yang juga sudah tidak menyanyi secara serius lagi.

Sementara itu, berkongsi mengenai Hidupku Takdirku, Deja berkata, ia adalah buah tangan dikongsikan untuk peminat yang menceritakan semua rahsia dan isu masalah kemurungan, rumah tangga, kemelut perceraian dan berkahwin semula yang pernah berlaku dalam kehidupannya.

Bagi Deja, autobiografi setebal 200 halaman itu sangat sesuai serta istimewa untuk peminat yang sering bertanyakan apakah rahsianya untuk berjaya bangkit semula daripada kekecewaan yang menjadi titik tolak perjalanan hidupnya.

“Melihat situasi semasa, saya terfikir menghasilkan sebuah buku yang beri inspirasi dan motivasi kepada wanita, terutama mereka yang sedang berdepan episod sukar dalam kehidupan dan tercari-cari kekuatan untuk bangkit semula.

“Saya anggap penerbitan buku inspirasi ini sebagai tanda mata atau bingkisan hati buat peminat tersayang sebelum saya meninggalkan tanah air untuk memulakan kehidupan di Chicago, AS,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS