Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zara berhajat ceriakan rider, pemandu e-hailing dengan pek bungkusan istimewa

Sebagai menghargai khidmat kumpulan penghantar makanan serta pemandu e-hailing, pelakon Zara Zya berhajat untuk menyuntik keceriaan kepada golongan berkenaan dengan menyediakan pek bungkusan istimewa.

Meskipun mampu menyempurnakan hasrat berkenaan seorang diri, aktres yang menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Tanpa Sempadan itu berkata, dia tidak mahu sumbangan berkenaan terbatas dalam skop yang kecil.

Justeru katanya, dia menyeru orang ramai untuk bersama-sama menyumbangkan dana bagi menyediakan pek tersebut untuk skala lebih besar bagi merealisasikan niat berkenaan.

“Kalau ikut kemampuan diri, saya memang boleh sediakan pek makanan, minuman beserta pelitup muka dan sanitasi tangan, namun ia terbatas untuk bantuan skop kecil saja.

“Namun saya beranggapan lebih baik niat baik ini dilakukan bersama mereka yang sama sama sudi menyumbang.

“Lagi ramai yang beri sumbangan, insya-Allah lagi luas skala bantuan ini boleh dianjurkan,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu, golongan penghantar makanan juga dianggap sebagai petugas barisan depan yang selama ini melaksanakan tugas mereka demi mengisi perut pelanggan ketika zaman pandemik Covid-19.

“Mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko, disebabkan hal itu, saya mahu menyumbang sesuatu untuk golongan ini.

“Tak kiralah kecil atau besar bantuan diberikan, yang pasti ia tetap memberi makna tersendiri kepada golongan itu,” katanya.

Kata Zara, 35, dia sendiri adalah salah seorang pembeli yang menggunakan khidmat mereka.

“Pernah saya bertanyakan apa yang mereka benar-benar perlukan sebenarnya. Kebanyakan memberi jawapan mereka perlukan pelitup muka dan cecair sanitasi tangan.

“Bermula dari situ saya terfikir untuk anjurkan bantuan sebegini. Pasti ada di antara mereka yang sering tak sempat menjamu selera kerana terkejar-kejar masa penghantaran.

“Bahagian makanan akan diagihkan serta saya sendiri akan memasaknya di rumah seperti menu nasi ayam atau beriani,” katanya.

Aktres yang mencetuskan fenomena menerusi drama bersiri, Love You Mr Arrogant dan Pia itu berkata, sebagai permulaan, dia akan meletakkan pek sumbangan berkenaan di beberapa lokasi stesen minyak yang terletak di Setia Alam.

“Saya mensasarkan untuk meletakkan sekitar 30 ke 50 pek bungkusan di setiap stesen minyak.

“Jika ada sumbangan lebih kelak, boleh kita luaskan lagi kawasan pengagihan sumbangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS