Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mengenang Tony: 'Aku nak duduk lama-lama dekat makam nabi'

"Tony kirim salam. Dia kata, datanglah lagi," pesan Abid kepada kami. Abid rajin berjumpa Tony dan setelah berkali-kali berjanji untuk ikut sekali, hari itu kami ke Sungai Buloh.

"Dia kata dia suka borak dengan engkau," tambah Abid.

Sebetulnya kami dari Puncak Alam untuk menghantar beberapa keping lukisan untuk dibingkaikan. Kami gemar menggunakan khidmat kedai bingkai Jinjit.

Mungkin kerana mahu mengambil aura seniman terkenal yang rajin menjadikan kedai tersebut sebagai pilihan untuk membingkaikan karya mereka, atau mungkin juga sukakan kasih sayang Rok.

Rok ialah pembingkai yang akan sentiasa marah apabila kita gesa kerjanya disegerakan namun tidak pernah mahu menghampakan sesiapa.

Dalam perjalanan balik, Abid mencadangkan kami singgah di Sungai Buloh.

"Mana tahu boleh jumpa M Nasir," kata Abid. Dia ada hubungan yang rapat dengan seniman itu setelah mengambil M Nasir berlakon dalam filem terbitannya.

Ketika sampai, kami disambut seorang lelaki yang tidak kami kenali. Berambut agak panjang dan bertubuh agak lenguh. Kelihatan dia tidak begitu sihat.

"Ini Tony," kata Abid memperkenalkan kami kepada lelaki tersebut. "Dia main band Spider."

Kami bersalaman dan dijemput duduk.

Tony tinggal di studio rakaman milik M Nasir di Sungai Buloh itu. Setelah berbual-bual seketika, kami diajak ke warung yang banyak berbaris di kiri dan kanan jalan menuju studio berkenaan.

Kadang-kadang cucuk

Dia mengajak kami ke sebuah warung yang agak jauh. Setelah menapak lebih kurang 200 meter, kami pun sampai ke warung dimaksudkan.

Hampir semua pelanggan yang ada di warung tersebut mengenali Tony. Kami tidak tahu sama ada mereka kenal dia sebagai pemuzik kumpulan Spider atau kerana dia ke sana setiap hari.

Tony menegur semua kenalan dan tuan punya warung berkenaan segera menyediakan minuman kesukaannya.

Kami ingat-ingat lupa apa yang dihidangkan kepada Tony. Mungkin Nescafe, mungkin juga kopi. Seperti kami, minumannya disediakan tanpa bergula. Tidak seperti kami, dia menerangkan yang dia menghidap kencing manis.

"Cucuk?" Tanya kami.

"Kadang-kadang," katanya.

"Cucuklah," kami memberi saranan. Kami suka memberi nasihat begitu kepada siapa pun yang mengidap penyakit berkenaan. Memang payah untuk mendisplinkan diri dalam hal mencucuk insulin bagi pesakit Diabetes.

Namun mereka tidak mempunyai pilihan. Hanya dengan displin ini dapat melambatkan kerosakan buah pinggang. Jika telah rosak, maka terpaksalah mereka pergi kepada mesin. Apabila ini berlaku, ia akan mengehadkan banyak hal kepada pengidapnya.

Itu adalah pertemuan pertama dengan Tony. Kami tidak pernah kenal akan dia. Semasa bandnya sedang popular kami bukan lagi pendengar muzik yang tegar.

Tony bercerita seolah-olah kami ini adalah kenalan lamanya. Kami yang mendengar jadi berasa sangat dihargai.

Diceritakannya tentang perjalanan awal mengenal agama dan juga seribu pencarian setelah itu. Kami jadi suka mendengar betapa susuk itu - yang kerja sehari-harinya ialah mencari irama - bercerita dengan penuh cinta tentang tuhan, tentang nabi.

Janji nak datang lagi

Bersungguh dia bercerita tentang impiannya mahu ke Mekah dan kemudian berziarah ke Madinah.

"Aku nak berlama-lama duduk dekat makam Rasulullah," kata Tony, "kalau dapat duit projek ni, aku pergi."

Tony sedang mengerjakan skor muzik untuk sebuah penerbitan pada waktu kami berjumpa itu. Bersungguh dia menceritakan kerinduan kepada dua kota suci itu.

Kami berbual sehingga lewat petang. Banyak yang diceritakan oleh Tony dan kami jadi seperti sangat mengenalinya. Sewaktu mahu meninggalkan warung, kami menawarkan diri untuk membayar namun Tony menghalang.

Dia lantas menghulurkan sekeping RM50 bagi membayar harga minuman dan sedikit kuih. Di hati kami katakan bahawa not itu terlalu besar untuk membayar sedikit makanan dan minuman yang dihidangkan.

Dia tidak mengambil wang baki.

Menurut tuan punya warung berkenaan, Tony akan sentiasa membayar lebih daripada apa yang sepatutnya. Kami faham bahawa itu adalah pembayaran untuk masa depan. Untuk dirinya sendiri dan juga sesiapa sahaja yang difikirkan perlu oleh tuan punya warung berkenaan.

Kami kembali ke studio dan setelah berjanji untuk datang lagi, kami mengucapkan selamat tinggal kepada Tony.

Rupa-rupanya pertemuan pertama kami dengan Tony juga merupakan pertemuan terakhir. Kesedihan bukanlah kata yang sesuai untuk mengambarkan perasaan apabila kami mendapat khabar pemergiannya pagi ini.

Selamat jalan Tony. Kami akan sentiasa menghargai persahabatan sehari antara kita dan akan sentiasa menghargai masa yang ringkas apabila kita berbual seperti sahabat yang telah selamanya bertaulan.

Semoga kesenangan menunggu kamu di alam yang lagi satu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS