Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bendera putih: Kibarkan jika perlu, kata Que Haidar
Diterbitkan:  Jun 29, 2021 10:05 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Nampaknya hari ini adalah hari yang agak 'sibuk' buat Que Haidar apabila beberapa hantarannya di media sosial menarik perhatian ramai kerana melibatkan isu semasa.

Ketika ada sesetengah ahli politik memandang sinis inisiatif bendera putih, pelakon terbabit bahkan memuat naik gambar yang berkaitan kempen untuk membantu golongan yang memerlukan itu.

"Kibarkan jika perlu.. kita jaga kita..," ciapnya dengan iringan lukisan yang dihasilkan @amirulramthan1. Pada lukisan itu tertera ayat: "Bendera putih - kibarkan jika perlu, bukanlah tanda putus asa." Tidak ketinggalan tertulis kata-kata "Badai pasti berlalu."

Sejurus sebelum itu pelakon Rock Oo! itu memuat naik tangkap layar komen seorang lagi pelakon terkenal, Beto Kusyairi di akaun Instagram yang menjawab kenyataan seseorang.

Pada tangkap layar itu Beto menulis mengenai pentingnya kepimpinan melalui teladan dan kejayaan negara luar menunjukkan kualiti yang tinggi.

Lebih awal dari itu melalui akaun Instagram the_haidars, Que Haidar - atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah bin Tengku Haidar menulis perasaannya yang "koyak" melihat keadaan rakyat yang berdepan dengan hidup yang sukar sekarang.

"Ya saya koyak bila saya lihat rakyat yang dihalau (dari) rumah, ya saya koyak lihat kes bunuh diri meningkat," katanya.

Tangkap layar komen itu kemudian dikongsikannya di Twitter.

Ketika ini ada gerakan massa untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa saja yang menghadapi kesukaran akibat penularan wabak Covid-19. Mereka hanya perlu menaikkan bendera putih di rumah masing-masing sebagai tanda perlukan bantuan.

Orang ramai pula kemudian akan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.

Pun begitu sekurang-kurangnya ada dua pemimpin kanan PAS memandang serong inisiatif berkenaan.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, misalnya menganggap langkah yang betul bukanlah menaikkan bendera tetapi mengangkat tangan berdoa kepada Allah.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) itu juga menganggap menaikkan bendera putih adalah tanda mengaku kalah.

Pandangan itu dikongsi Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabbar. Katanya ada cara lain yang lebih "menjaga maruah" untuk seseorang meminta bantuan.

"Saya tak setuju cadangan dinaikkan bendera putih untuk maklumkan kita kehabisan makanan kerana: Ada yang akan ambil kesempatan, memelihara maruah diri dan ummah.

"Kita masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang," katanya. 

Sementara itu siang tadi pelakon Bunohan, Bront Palarae terlebih dulu menciap mengenai inisiatif bendera putih.

Katanya bendera putih adalah suatu mesej yang disampaikan sama ada oleh rakyat atau pihak yang berkuasa.

"Bendera putih adalah jalan terakhir bagi mereka yg sudah tiada jalan. Buat rakyat, mahupun pemerintah," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS