Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Kenduri durian: Salah atau tidak Jamal tetap minta maaf
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 2:20 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Jamal Abdillah memohon maaf atas kesalahannya mengadakan ‘kenduri durian’ dan didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu kejadian yang berlaku pada 24 Jun lalu.

Kata Jamal, dia memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak mahu perbuatannya itu menjadi contoh atau ikutan orang ramai.

“Sama ada salah atau tidak, saya tetap minta maaf kerana saya sepatutnya peka dengan SOP dan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Saya berharap masyarakat di luar sana tidak mencontohi kesilapan saya ini,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.

Melalui gambar dan video yang tular itu, Jamal, 62, dilihat menikmati durian dan berkaraoke di sebuah ladang di Kampung Poh di Bidor, Perak pada Jumaat lalu.

Tindakan itu didakwa melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail, dipetik Utusan Online sebagai berkata semua mereka yang terlibat majlis sosial itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat. 

Nak jaga hati kawan

Pemilik nama penuh Jamal Ubaidillah Mohd Ali itu, 62, pada masa sama menjelaskan kehadirannya ke kampung itu hanyalah untuk mendapatkan baja bagi perniagaan kolam ternakan ikan yang diusahakannya di Bukit Merah, Taiping.

“Bagaimanapun, kebetulan sekarang musim durian dan kawan-kawan yang ada dusun di situ mengajak saya makan durian.

“Nak menolak takut ada yang berkecil hati, dan anggap saya sombong. Jadi, saya singgah sekejap untuk penuhi pelawaan mereka.

“Di situ disediakan pula set karaoke. Sambil makan, saya menyanyi satu lagu sebab dah makan percuma dan rasa macam tak seronok pula kalau tak belanja lagu walaupun, saya bukan kaki karaoke,” katanya.

Menurut penyanyi Nasib Diriku itu, sepanjang Bidor, Tapah dan Gopeng, dia mempunyai kawan-kawan yang memiliki dusun durian justeru mereka tidak ketinggalan mempelawanya untuk menikmati buah berkenaan di kawasan tersebut.

“Susah juga dibuatnya kerana hati kawan-kawan perlu dijaga. Memang agak serba-salah. Apapun saya sudah memberi keterangan di Balai Polis Tapah petang semalam dan perkara ini dalam siasatan.

“Saya bagi kenyataan sebenar dan tiada yang diselindungkan. Polis pun sudah melawat kawasan kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya yang menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan denda yang dikenakan.

Jamal turut menjelaskan surat kebenaran rentas negeri yang dipertikai segelintir pihak terhadapnya.

Menurut Jamal ikan-ikan kelisa peliharannya perlu dipantau dan diberi makan dari semasa ke semasa untuk mengelak ia mati.

“Saya sendiri yang biasanya beli makanan ikan di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain untuk dihantar ke sana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamal berkata dia turut melakukan kerja-kerja kebajikan apabila berada di Bukit Merah.

Misalnya dia menyumbangkan 200 barangan keperluan dapur untuk golongan asnaf dan anak yatim serta penduduk kampung Parit Haji Aman, Bagan Serai Perak pada 26 Jun lalu.

Ia adalah sumbangan peribadi kali kedua dibuat Jamal kepada golongan asnaf dan anak yatim sekitar daerah Kerian dan Parit Buntar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS