Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kartunis Blues Untuk Aku meninggal dunia
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Kartunis yang popular dengan karya Blues Untuk Aku, Aie, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang di rumahnya di Sungai Manggis, Banting, Selangor kira-kira jam 4 pagi tadi.

Pemilik nama sebenar Saari Sulong itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 48 tahun.

Berita dukacita itu dikongsikan sahabatnya yang juga kartunis, Ujang, melalui hantaran Facebook.

“Mendapat perkhabaran duka… kartunis Aie pelukis karakter Abe meninggal dunia jam 4 pagi tadi di kediamannya di kampung Sungai Manggis, Banting, Selangor kerana komplikasi buah pinggang.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diterima dalam golongan orang-orang yang diredai Allah,” katanya.

Menurut laman sesawang JenamaX, Aie dilahirkan di Kuala Lumpur pada Februari 1973 dan dibesarkan di Segamat dan Kluang, Johor sebelum menamatkan sekolah di tingkatan lima di Kuantan, Pahang.

Selama 25 tahun berkecimpung dalam dunia kartun dan komik Aie pernah memegang pelbagai tugas termasuk kartunis, ilustrator, pelukis komik, pereka grafik, ketua studio dan pengarah seni beberapa syarikat penerbitan tanah air.

Antara majalah yang pernah mendapat sentuhan Aie ialah Jenakarama, majalah kartun Disney Mickey (edisi bahasa melayu), Ujang, Starz, Utopia, G3, Jom, Boboi dan Gila-Gila.

Selain Aku Hidup Dalam Blues dan Abe, Aie turut terkenal dengan hasil karakter Blues Untuk Aku, dan Aku dan Sesuatu.

Dia pernah menghasilkan dua novel grafik, Permulaan Sebuah Akhiran dan Dia Yang Dulu. Arwah dijadual menerbitkan tiga lagi karya iatu Cerita Dari Dalam, Saat Jiwa Bicara dan Dia Kembali.

Novel grafik tersebut berkisar mengenai cerita-cerita ringan kehidupan remaja masa kini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang lagi rakan kartunisnya, Mazli Ibrahim atau Gayour berkata, perkhabaran itu disampaikan oleh biras arwah, kartunis Manggis atau Rosli Ismail kepadanya kira-kira 4 pagi.

“Dia memang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang serta menerima rawatan dialisis sejak lima tahun lepas.

"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ialah pada 2019. Sejak ada Covid-19 saya hanya bertanya khabar melalui WhatsApp dan panggilan telefon saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS