ULASAN SENI | Betapa sebak hati seorang ibu itu. Memang gadis itu bukan darah dagingnya, apa lagi anak yang dirindu sejak terpisah puluhan tahun.
Namun barangkali ada sedikit rindu yang dapat dilepaskan apabila Nining Ningsirat, 81, dapat memeluk Amel apabila kedua-dua mereka dipertemukan dalam detik yang diatur di Jakarta beberapa hari lalu.
Sebagaimana Dermai beria-ia mahu berjumpa anaknya, Tanggang, barangkali begitulah perasaan Nining yang datang dari Bandung untuk bertandang ke Jakarta dibawa anaknya, Alan Yudi.
Ia bertitik tolak daripada tularnya khabar ada seseorang dilihat sebagai jelmaan semula Nike Ardilla.
Dalam pertemuan dramatik itu, Melamilia - atau nama penuhnya, Melamilia - itu memeluk Nining yang kelihatan sebak. Detik itu menjadi semakin meruntun jiwa sebaik saja Amel menyuapkan nasi ke mulut Nining menjadikan orang yang memerhatikan turut berkongsi sayu.
Nining yang mesra disapa Mamih merupakan ibu superstar Indonesia, Nike Ardilla. Sejajar pelbagai pengiktirafan antarabangsa dimiliki - seperti meraih Gold Prize Asian Song Festival (1991) selain majalah Asiaweek meletak tajuk In Dead She Soared pada hari kematiannya - nama Nike Ardilla cukup gah di nusantara ini khususnya Malaysia, Singapura dan Brunei.
Tatkala popularitinya memuncak, dunia hiburan dikejutkan dengan kematian penyanyi Bintang Kehidupan itu ketika dia baru berusia 19 tahun. Nike Ardilla terbunuh akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bandung pada 19 Mac 1995.
Betapa luluh hati Mamih kerana Nike Ardilla satu-satunya anak gadis wanita itu, dan juga anak bongsu daripada tiga beradik.
Derita Mamih bertambah kerana selang dua tahun kemudian suaminya pula, Raden Edi Kusnadi, dijemput Ilahi. Pusara dua beranak itu diletakkan bersebelahan di Ciamis, Jawa Barat.
Saban tahun berlangsung program ziarah di pusara Nike Ardilla dan setiap kali itulah air mata Mamih berjurai-jurai mengenangkan Nike Ardilla.
Tetap jadi diri sendiri
Sejak ketiadaan Nike Ardilla muncul beberapa nama dikaitkan persis wajahnya seperti penyanyi itu dan pegawai polis Nindya Pratiwi.
Amel mula jadi perhatian selepas aksinya dirakam jurugambar tempatan kemudian dikongsi di Instagram akaun nikeardilla_id dengan kapsyen: "Dari kelmarin banyak banget yang DM mimin, biarlah netizen menilaikannya."
Penulis sempat bertanyakan pada pemilik akaun nikeardilla_id itu mengenai Amel. Diberitahu Amel baru berusia 18 tahun dan masih bersekolah.
Gambarnya menjadi tular selepas dia dirakam jurugambar bernama Agustaf.
Sementara itu abang Nike Ardilla iaitu Alan Yudi ketika ditanya mengenai Amel hanya menjawab ringkas: "Beza dia (Amel) hanya newcomer (pendatang baru) untuk meriahkan industri."
Nike Ardilla mempuyai anak saudara yang menginjak remaja, Bella Azzahra, iaitu hasil perkahwinan Alan Yudi dengan Lia Kuya.
Sesuatu yang simbolik ditulis Lia Kuya pada salah status terkininya di Facebook dengan memuatnaik gambar Bella: "Tetaplah menjadi diri sendiri, tanpa berupaya meniru orang lain. Ada kalanya kita akan lelah bertopengkan sandiwara dan pada saatnya nanti topeng yang kita pakai akan terasa semakin berat."
ADAM SALLEH ialah bekas pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.