Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jurey Rosli: Kita sudah tak mampu lagi berpecah, berpuak
Diterbitkan:  Jun 25, 2021 12:59 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyeru semua syarikat penerbitan televisyen yang masih belum menjadi ahli untuk mendaftar segera dengan persatuan itu.

Presiden PVTM Jurey Latiff Rosli berkata, masih banyak syarikat penerbitan menganggap mereka tidak memerlukan persatuan malah ada yang merasakan ia tidak memberikan apa-apa faedah.

“Namun, kita sudah tidak mampu lagi berpecah dan berpuak kerana perpecahan menjadikan kita lemah dan tidak dihormati.

“Ada juga yang mengatakan biarlah persatuan berjuang nanti hasilnya kita akan terima juga. Ramai yang tamak dan pentingkan diri sendiri.

"Maka ujian Covid-19 ini diharap dapat mengubah persepsi tentang pentingnya hidup berpersatuan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut pengarah Libas itu, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada industri yang diurus dengan baik melalui sebuah persatuan yang besar 

Katanya, ia menjadikan kelompok tersebut kuat dan berpengaruh, sepertimana persatuan pengilang dan persatuan dalam industri-industri lain.

Sebaliknya, katanya lagi, pepercahan di kalangan syarikat penerbitan televisyen menjadikan mereka "kumpulan minoriti yang tidak dipedulikan" seperti industri-industri lain yang lebih kecil serta tidak mampu bersuara.

“Kita sudah tidak ada pilihan jika kita mahu suara kita juga didengari. Jika benar kita sangat terkesan maka hanya satu pilihan iaitu kita jaga kita dan jadikan suara kita suara majoriti yang bersatu di bawah payung PTVM.

“Saya sangat yakin apabila kita bersatu, kita akan menjadi suara terbesar industri TV dalam mengangkat isu dan permasalahan industri untuk kerajaan lebih memahami dan seterusnya membantu,” katanya lagi.

Menurut Jurey, antara kejayaan PTVM adalah menaikkan kadar harga pembelian program tempatan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan di stesen swasta serta menyelesaikan isu harta intelek dan pembatalan kontrak perbekalan di RTM akibat wabak Covid-19.

Katanya lagi, PTVM turut menjadi rujukan pihak kerajaan dalam mendapat maklumat berkenaan industri kreatif penerbitan televisyen.

Justeru, dia berkata persatuan ingin terus membantu semua syarikat yang sedang menghadapi masalah di kala wabak Covid-19 masih menular.

“Kami amat memahami segala kesulitan akibat kerajaan tidak membenarkan sektor industri kreatif beroperasi.

“Kami sedaya upaya sedang usahakan dengan segala kemampuan untuk memohon kerajaan memberi kebenaran penggambaran dalam masa terdekat.

“Semua usaha ini bukan hanya untuk ahli-ahli kami tetapi perjuangan ini untuk kita semua,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS