“Menggigil, tangan terketar-ketar, jantung rasa hendak tercabut,” - demikian gambaran perasaan dialami pelakon Siti Elizad selepas seorang individu menggelarkannya mandul.
Tidak cukup dengan itu, individu terbabit turut menghina aktres berkenaan dengan kata-kata kesat kerana dia masih belum mempunyai zuriat.
Susulan itu, Elizad membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil kerana tuduhan tersebut melukakan hatinya sebagai seorang wanita dan isteri.
“P/s : **** *****, kau cuit salah orang.
“Pertamanya, jarang-jarang aku nak melayan komen bodoh macam ni. Tapi bila kau menggunakan perkataan mandul, ia benar-benar melukakan perasaan aku.
“Kau Allah ke? Tahu aku ni mandul? Boleh beranak ke tak? Sedih teramat-amat. Kau suka kalau tengok aku bercerai-berai sebab aku belum ada zuriatkah?” katanya di Instagram.
Dalam perkongsian sama, pemilik nama penuh Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 37, itu turut memuat naik sebuah video memaparkan seorang lelaki yang mengecam tindakan biadab individu terbabit terhadapnya.
Individu berkenaan turut menuduh Siti Elizad tidak berhasil mendapatkan zuriat kerana tidak menutup aurat serta tidak mendirikan solat.
Kata Elizad, lain orang lain caranya serta dia tidak perlu memuat naik setiap perkara untuk perkongsian umum.
“Saya menangis ketika menaip semua ini, awak tahu ke saya solat atau tidak? Bersedekah, mengaji, atas sejadah dan semua amalan perlu dikongsi ke? Lain orang lain caranya,” katanya.
Untuk rekod, Elizad mendirikan rumah tangga bersama Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.
Elizad pernah menjalani proses rawatan kesuburan In vitro fertilisation (IVF) bagi mendapatkan cahaya mata pada 27 Oktober tahun lalu namun disahkan mengalami keguguran sebulan kemudian.
Bertahun jumpa doktor pakar
Penyampai radio Sinar.FM itu berkata, tidak wajar mana-mana pihak melabelkan perkataan mandul terhadapnya memandangkan dia sudah berusaha keras bagi mendapatkan zuriat, bahkan turut pernah mengandung sebelum ini.
“Rezeki anak itu semua kerja Allah. Cuma tiada sesiapa boleh sebut perkataan mandul tu pada aku.
“Kau tahu tak? Aku berusah-payah macam nak mati dapatkan zuriat sendiri. Hari-hari dalam solat menangis, minta pada Allah jangan biarkan aku keseorangan tanpa zuriat.
“Kecewa sebab tiada peneman umur macam ni. Bertahun-tahun jumpa segala doktor pakar, pergi seluruh pelusuk berubat, cucuk sana sini sakit tahu tak? Sakit!
“Yang kau tahu, senang-senang cakap aku mandul dan *******,” katanya.
Tambah pelakon Berlari ke Langit itu, dia tidak perlukan perhatian murahan seperti itu kerana sudah bahagia dengan kehidupan dialaminya sekarang.
“Aku gembira dengan kehidupan aku sekarang. Dapat anak ke tidak, itu kerja Allah,” katanya.