Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aina Abdul sedia curah pelbagai usaha untuk lebar sayap ke Korea Selatan

Menjadikan lagu-lagu artis K-pop sebagai sumber inspirasi dalam berkarya, penyanyi Aina Abdul tidak menafikan memang menjadi hasratnya untuk mengembangkan bakat di Korea Selatan.

Menyedari bakal berdepan pelbagai cabaran untuk itu, penyanyi bervokal tinggi berkenaan berkata dia perlu terlebih dulu mencurahkan pelbagai usaha bagi memastikan impiannya dapat direalisasi suatu hari nanti.

"Banyak perkara perlu dibuat antaranya dengan menerbitkan lagu Sepi dalam versi Korea.

Sepi versi Korea adalah langkah pertama menambat hati pendengar di sana. Jika ada 10 pendengar, tapi dua daripadanya menggemari lagu tersebut sudah cukup baik bagi saya,” katanya.

Untuk itu menurut Aina pihaknya perlu bersama-sama memikirkan pelbagai cara untuk menembusi pasaran di sana.

“Saya juga sedia maklum ia memang sukar dan mungkin saya perlu ambil masa bertahun-tahun untuk menempa nama di sana,” katanya.

Aina berkata demikian pada sidang media secara maya sempena pelancaran lagu duet barunya bersama penyanyi Daniesh Suffian berjudul Warna-Warni semalam.

Memang ada rancangan

Untuk rekod, baru-baru ini Naib Juara Anugerah Lagu ke-35 itu mencatat rekod tersendiri apabila muncul dalam sebuah program televisyen Korea Selatan berjudul Simply Kpop Con-Tour yang disiarkan menerusi stesen Arirang TV.

Pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu berkongsi hantaran dia ditemu bual dua pengacara program, iaitu Kevin dan Jacob daripada kumpulan The Boyz melalui Instagram miliknya.

Penyanyi Sumpah itu turut berjaya memukau penonton dan pengacara pada malam tersebut apabila menyanyikan sedikit lagu daripada penyanyi terkenal Korea Selatan iaitu Ailee yang berjudul I Will Go To You Like The First Snow.

Dia turut menyampaikan lagu Sepi dalam versi Korea dan menerima sambutan daripada peminat K-pop selepas tular dalam media sosial.

Selain Aina, program Simply Kpop Con-Tour pernah menemu bual beberapa bintang terkenal dari Thailand, Vietnam dan Filipina dalam episod terdahulu.

Aina, 27, berkata sekiranya usaha itu belum mencukupi dia mungkin perlu tampil dengan sebuah lagu dalam bahasa Korea berbanding menterjemahkan sesebuah lagu seperti sebelum ini.

Katanya memang ada rancangan untuk berbuat begitu cuma lagunya belum disiapkan lagi.

"Dan saya rasa mungkin tak ada masalah untuk menerbitkan lagu berkenaan kerana sudah mengenali beberapa YouTuber berpengaruh di negara tu. Semua ni langkah awal," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai duetnya bersama Daniesh, 22, Aina melahirkan rasa gembira kerana Warna-Warni mendapat sambutan yang positif daripada pendengar dan peminat masing-masing.

Menurutnya, dia terbuka untuk berkolaborasi dengan Daniesh kerana penyanyi dan pelakon itu melengkapi paduan suaranya.

“Saya bukan saja rakan duet, tapi peminat vokal yang dimiliki Daniesh. Saya berasakan dia mempunyai masa depan yang cerah dalam industri selain seorang penyanyi yang bagus.

“Apabila digabungkan suara kami boleh serasi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS