Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penggiat industri kreatif rasa terpinggir kala pandemik
Diterbitkan:  Jun 22, 2021 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu kerajaan segera melaksanakan program imunisasi berkelompok untuk penggiat industri kreatif.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata walaupun industri kreatif tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan penting, pertimbangan perlu diberikan kepada golongan terbabit kerana mereka turut menyumbang kepada usaha menangani pandemik Covid-19 sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Katanya, penggiat industri terdiri daripada semua pekerja yang terlibat dalam bidang penerbitan drama, filem cereka, iklan, dokumentari dan berita sama ada di stesen penyiaran mahupun dengan syarikat persendirian.

“Sudah sewajarnya kami dilibatkan sama dalam program imunisasi berkelompok kerana kami juga boleh dianggap sebagai kumpulan barisan hadapan.

“Kami terus bekerja untuk menghasilkan program baru terutama bagi mempromosi usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata pada musim perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, penonton televisyen tidak boleh lagi disogok dengan program ulangan yang lambat laun akan membosankan mereka.

“Stesen perlu menyiarkan program baru sama ada drama, hiburan atau dokumentari terutama yang membawa mesej berkaitan Covid-19.

“Walaupun stesen televisyen boleh menerbitkan sendiri program mereka, ia tidak mencukupi. Banyak program perlu diperoleh daripada luar terutama drama dan iklan.

“Dalam keadaan tanpa vaksinasi, pasti sukar bagi stesen atau penerbit luar untuk membuat dan membekalkan program baru kerana risiko jangkitan akan berlaku dalam kalangan pekerja yang tidak diberi vaksin,” katanya.

Dah lebih sebulan tak kerja

Ahmad turut menyokong gesaan Persatuan Penerbit Filem Malaysia dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia yang menghadapi isu pelanggaran kontrak dengan stesen penyiar kerana kegagalan membekal program dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

“Walaupun pihak stesen dan pembiaya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sendiri menyatakan akan memberi pertimbangan dalam hal pembekalan dan pinjaman atau pendanaan, penerbit juga mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi kontrak yang termetrai antara mereka dengan stesen penyiar dan pembiaya,” katanya.

Namun, kata Ahmad, isu paling utama ialah kelangsungan hidup para penggiat industri yang bergantung 100 peratus kepada kerja penerbitan sebagai mata pencarian utama.

Menurutnya lebih 90 peratus daripada mereka adalah karyawan bebas yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan imbuhan lain seperti caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Sudah lebih sebulan kami tidak bekerja dan tiada bantuan khusus dirancang oleh kerajaan.

"Kami terpinggir dalam pelan pemulihan negara seolah-olah kami langsung tidak diperlukan.

“Sepatutnya rangka perancangan vaksin berkelompok ini diwujudkan dan pusat pemberian vaksin khusus untuk media dan penggiat seni ditubuhkan dua bulan lalu.

“Sekarang baru timbul kesedaran. Itu pun tidak komprehensif, tidak sistematik dan tidak 100 peratus serius. Vaksin perlu diberi kepada semua penggiat seni dengan kadar segera.

"Tanpa vaksin, imuniti penggiat tidak terjamin,” katanya.

Ahmad berkata setakat ini penularan virus Covid-19 dalam kalangan penggiat industri kreatif tidak serius dan masih terkawal.

“Kami mematuhi prosedur operasi standard yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Pekerja kami turut melalui proses calitan seperti yang disyaratkan.

"Pemantauan dan khidmat nasihat sentiasa diberi kepada produksi penggambaran. Finas iuga telah ambil inisiatif memantau.

“Laksanakan segera vaksinasi kepada penggiat seni agar kami dapat terus bekerja apabila kerajaan menamatkan sekatan pergerakan nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS