Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mafarikha tak keruan selagi tak dapat restu Kak Eton

Biarpun teruja diberi peluang untuk menyanyikan semula Kabut Serangkai Mawar, Mafarikha mengakui hatinya pernah tidak keruan sekiranya lagu itu dinyanyikan tanpa mendapat ‘restu’ penyanyi asal - Zaiton Sameon.

Kata Mafarikha, walau tiada keperluan untuk dia berbuat demikian, namun kerisauan tetap terbit kerana dia memang menyanjung tinggi kemampuan vokal Zaiton yang boleh dikategorikan antara seorang artis yang prominen pada era 1980-an.

“Saya bernaung di bawah Luncai Emas, syarikat rakaman dimiliki M Nasir yang juga komposer sama yang mencipta Kabut Serangkai Mawar.

“Syarikat rakaman menawarkan peluang menyanyikan lagu itu tanpa memaklumkan Kak Eton (Zaiton) terlebih dulu. Tapi kemudian, saya mencadangkan pada Luncai Emas untuk hubungi Kak Eton.

“Bukan apa, saya segan dan risau nak menyanyikan lagu tu tambahan pula saya amat menghormati karya tersebut yang penyanyinya seorang legenda,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Kabut Serangkai Mawar 2021 yang digubah semula menjadi sebuah remake itu adalah kolaborasi pertama di antara Luncai Emas dengan Mafarikha.

Lagu terbit sebelum lahir

Mengulas lanjut, pemilik nama penuh Mafarikha Akhir itu berkata, reaksi Zaiton yang positif menguatkan semangatnya untuk menyampaikan Kabut Serangkai Mawar mengikut cara tersendiri dengan lebih yakin.

“Kak Eton gembira sebab ada penyanyi dari generasi muda seperti saya ingin menyanyikan semula lagunya. Saya pula gembira apabila dapat persetujuan dia,” katanya.

Paling istimewa menurutnya, dia dapat menyanyikan lagu seorang penyanyi yang sangat diminati oleh emaknya.

“Gembira sebab Kak Eton penyanyi kegemaran mak. Semasa Kabut Serangkai Mawar diterbitkan, saya belum lahir lagi,” kata penyanyi itu yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-29 bulan depan.

Zaiton Sameon

Mafarikha pada masa sama berkata, dia berharap hasratnya untuk mengundang Zaiton bagi menghidupkan suasana video muzik yang serasi dengan lagu tersebut dapat direalisasikan.

“Saya ada nyatakan permintaan pada syarikat rakaman agar Kak Eton hadir dalam video muzik tu nanti. Namun perintah kawalan pergerakan sedang dilaksanakan menjadi kekangan ketika ini.

“Saya ingin penonton teringat semula pada lagu tu selain pada masa sama ia simbolik sebagai satu penghormatan kepada penyanyi yang asal,” katanya.

Berkongsi kisah mengenai pembabitannya melalui lagu tersebut, Mafarikha berkata, dia berdepan cabaran tertentu untuk menyanyikan semula karya berkenaan secara langsung.

Namun, katanya, ia tidak bermaksud dia langsung tidak boleh menyampaikan lagu itu melalui proses sama.

“Vokal Kak Eton sangat padu. Tapi bukan saya tak boleh menyanyi secara langsung, cuma lagu ni boleh dianggap mempunyai tahap kesusahan paling tinggi yang pernah dirakam oleh saya setakat ni.

“Saya ambil sekurang-kurang 10 jam untuk siapkan Kabut Serangkai Mawar 2021. Saya kena jadi perfectionist (mementingkan kesempurnaan), risau jika nanti orang dengar tak puas hati,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS