Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas kemuka pelan baru buat karyawan pilihan FFM31

Selain anugerah trofi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menawarkan peluang pembikinan filem khas melalui dana diperuntukkan kepada penerbit yang memenangi filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) nanti.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, ganjaran istimewa itu bakal turut merangkumi beberapa pemenang terbaik FFM31 melalui kategori berbeza.

“Di samping meraikan kejayaan produksi filem terbaik, Finas bercadang untuk menyelaras pembikinan satu filem bertaraf antarabangsa dengan menggabungkan bakat-bakat terbaik pemenang FFM31.

“Justeru, filem khas tersebut akan menggabungkan pemenang-pemenang daripada kategori seperti Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

“Penerbit filem itu juga akan dicadangkan mengundang pemenang-pemenang lain untuk turut serta dalam pembikinan filem khas tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, pelan itu masih di peringkat awal serta memerlukan penilaian lebih terperinci termasuk menetapkan sasaran peruntukan untuk jumlah dana yang akan diberikan.

“Finas belum putuskan lagi namun, Sekretariat FFM31 akan bentangkan cadangan itu kepada ahli lembaga pengarah nanti,” katanya.

Terdahulu, Finas dalam satu kenyataan mengumumkan penganjuran FFM31 yang sepatutnya dilaksanakan pada 8 April tahun lalu bakal diteruskan pada Oktober depan.

FFM31 bakal mempertandingkan 22 kategori utama melibatkan penyertaan filem cereka antaranya Filem Terbaik; Pengarah Terbaik; Pengarah Harapan; Pelakon Lelaki Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kenyataan itu turut memaklumkan penyertaan untuk filem tempatan dibuka secara rasmi bermula 15 Jun hingga 12 tengah hari 15, Julai depan.

Terdapat tiga syarat utama penyertaan iaitu ia mestilah filem cereka tempatan yang dikeluarkan di Malaysia dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem bagi tahun 2018, 2019 dan 2020 bagi tayangan di Malaysia dalam format DCP/35 mm/format digital dengan tempoh tayangan sekurang-kurangnya 60 minit.

Menurut kenyataan itu lagi, filem berkenaan juga mestilah yang belum pernah menyertai siri Festival Filem Malaysia dan merupakan filem-filem yang ditayangkan dalam tempoh tiga tahun berkenaan saja.

Sementara itu, ditanya harapan Finas untuk benar-benar berpeluang merealisasikan FFM31 kali ini, Zakaria memberikan jawapan positif: “Kami yakin boleh.”

“FFM31 telah memulakan persiapan. Mengikut Pelan Pemulihan Negara, sektor sosial mungkin akan dibuka pada penghujung Oktober depan.

“Finas mempunyai dua pilihan (bergantung pada situasi semasa), sama ada untuk mengadakan acara tersebut dengan jumlah kehadiran terhad ataupun mengadakan ia secara maya seperti Anugerah Akademi ke-93 pada April lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS