Penyanyi Indonesia yang terkenal dengan lagu Bidadari Tak Bersayap, Anji ditangkap polis atas dakwaan penyalahgunaan dadah jenis ganja pada 11 Jun lalu.
Ketua Jabatan Antidadah Polis Metro Jakarta Barat, Ronaldo Maradona Siregar, Anji ditangkap sewaktu pemuzik itu bersendirian di studio muziknya di Cibubur, Jakarta Timur.
Turut ditemukan adalah bahan bukti iaitu ganja, katanya lagi.
Ronaldo berkata, Anji atau nama asalnya Erdian Aji Prihartanto, tidak melawan ketika ditahan sebaliknya dia memberikan kerjasama dengan baik kepada pihak polis.
“Saat ditangkap, dia memang bersendirian serta memberikan kerjasama sewaktu menjalani pemeriksaan. Cuma maklumat lain akan kami maklumkan kemudian,” katanya seperti dipetik Detikhot.
Dia berkata penangkapan Anji, 42, yang turut dikenali melalui lagu Dia itu dilakukan hasil maklumat orang awam.
“Kami menerima maklumat daripada orang awam dan seterusnya penangkapan Asisten Komisioner Polis Harry Gasgari di studio Anji di Cibubur,” katanya.
Susulan penangkapan itu diketahui umum, namanya sempat menjadi sohor kini di Twitter Indonesia.
Warganet turut menyorot kembali ciapan Anji, termasuk mengenai dadah pada 25 Mac 2013 yang kembali 'berkicau' di Twitter.
Ciapan itu berbunyi: "Saya lebih gemar menghasilkan dadah sendiri berbanding melakukan sesuatu yang mengakibatkan orang lain terbunuh."