Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ara Johari nafi merajuk dek kontroversi yang terpalit
Diterbitkan:  Jun 12, 2021 9:14 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Hampir setahun tidak muncul dengan sebarang buah tangan terbaru, penyanyi Ara Johari menolak dakwaan dia membawa diri kerana merajuk dan tertekan dek terpalit kontroversi sebelum ini.

Katanya, semua dakwaan itu cuma salah faham serta dia masih lagi aktif sebagai penyanyi ketika ini.

“Ara tak bawa diri pun, ni semua salah faham. Ara masih lagi aktif menyanyi. Jika tak percaya boleh periksa akuan Instagram rasmi Ara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pun begitu, menurut pemilik nama penuh Nurfarrah Izzatie Johari itu, dia mempunyai jadual waktu kerja yang padat selain perlu membahagikan waktu antara nyanyian dengan perusahaan makanan miliknya.

Katanya, dia kini sedang mengumpulkan material terbaik untuk single Tetap Aku Cinta.

“Single terbaru ini merupakan comeback buat Ara dan hadiah untuk semua peminat yang merindukan buah tangan terbaru daripada Ara,” katanya.

Untuk rekod, Ara, 23, antaranya terpalit tuduhan kaki minum serta mengambil bahan terlarang. Tuduhan itu muncul selepas penyanyi lagu Bunga berkenaan menarik diri pada saat-saat akhir daripada sebuah program televisyen (TV) dengan memberi alasan mengalami masalah kesihatan.

Namun, di hadapan petugas media, Ara - yang ditanya soalan itu Ogos tahun lalu - bersumpah dia tidak pernah membabitkan diri dengan minuman haram selain bebas di bawah pengaruh dadah sewaktu kejadian berlaku. 

Disebabkan hal itu, penyanyi berkenaan juga mengakui dia pernah berasa agak tertekan hingga terpaksa mengurungkan diri di rumah.

Bercakap mengenai Tetap Aku Cinta, Ara berkata, ia adalah sebuah karya bergenre balada rock moden yang dicipta oleh komposer dan penulis lirik, Amy Bong serta Furhan. Lagu itu diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

“Ia berkisahkan mengenai cinta sejati terhadap seseorang yang disayangi dan orang itu sanggup menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama sehingga ke akhirnya,” katanya lagi.

Naib Juara AJL Ke-32 itu berharap Tetap Aku Cinta akan disambut baik oleh semua orang.

“Ara harap semoga Tetap Aku Cinta dapat diterima baik oleh semua, serta berjaya menarik minat pendengar di luar sana, dan semoga banyak perkara positif yang datang daripada lagu ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS