Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Adakah wanita perlu buat-buat bodoh seumur hidup demi pasangan?'
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 3:22 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Penyanyi Dr Soo Wincci antara orang yang meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kenyataan doktor pakar mata Dr Muhaya Mohamad mengenai wanita perlu ‘bodoh-bodoh’ sikit jika mahu cepat mendapat jodoh.

Kata Wincci, jika seseorang wanita berbuat demikian bermaksud mereka perlu menipu orang lain semata-mata kerana ingin mendapatkan pasangan hidup.

“Saya tak boleh terima perkara ni, prof. Buat bodoh demi nak kahwin.

"Ia perkara yang tak betul sebab anda menipu orang di samping memijak diri sendiri semata-mata nak kahwin?” katanya di Instagram.

Terdahulu, Muhaya yang dikenali sebagai pakar motivasi terkenal itu menerima pelbagai reaksi - termasuk negatif - selepas berkongsi satu video berjudul Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh.

Melalui video berdurasi 56 saat itu, Muhaya berpendapat, wanita tidak perlu terlalu berusaha untuk menyaingi kaum lelaki.

Tak dibesarkan untuk 'bodoh'

Dia sebaliknya berkata, lelaki akan menyukai seseorang wanita jika dia memiliki perwatakan lemah lembut serta bergantung harap pada bantuan pasangannya.

So orang perempuan, walau macam mana you all, please, mesti kita celebrate apa yang Allah beri tentang kepimpinan lelaki. Imam pun lelaki. Nabi-nabi pun lelaki.

“Jangan sibuk nak liberate nak berdiri sama-sama lelaki, no. Nanti kamu sibuk nak buat apa yang lelaki nak buat testosteron meningkat dan bagi siapa belum kahwin, lambatlah jodoh,” katanya melalui video tersebut.

Wincci, 35, pada masa sama bertanya adakah dia perlu buat-buat bodoh seumur hidup demi untuk mendirikan rumah tangga dengan seseorang.

Dr Amalina Che Bakri

Kata Miss World Malaysia 2008 itu, daripada berbuat demikian dia lebih rela tidak berkahwin langsung.

“Biarlah tak kahwin pun, jangan buat bodoh demi nak kahwin. Takkanlah kita nak buat-buat bodoh seumur hidup kita?” soalnya.

Selain Wincci, kenyataan Muhaya turut dibidas pakar bedah kelahiran Malaysia yang kini berpangkalan di London, Dr Amalina Che Bakri.

Amalina yang mendirikan rumah tangga dengan seorang warga Eropah di London pada 31 Mac lalu berkata, dia tidak sanggup berkahwin sekiranya kebodohannya nanti akan menjadi daya tarikan lelaki.

“Saya minta maaf, tapi ibu saya tidak membesarkan saya untuk menjadi ‘bodoh-bodoh sikit’ di hadapan lelaki supaya dapat bertemu jodoh.

“Anda menyampaikan mesej yang salah kepada remaja dan wanita. Mereka sepatutnya tidak merendahkan tahap intelektual hanya untuk menarik perhatian lelaki,” ciapnya di Twitter.

Sementara itu Malaysiakini difahamkan Muhaya akan mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan keadaan itu selepas ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS