Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neeta mengadu ke polis lepas video mengaibkan tular
Diterbitkan:  Jun 9, 2021 12:37 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Penyanyi dan pengacara Neeta dan syarikat rakamannya, Nar Records Sdn Bhd membuat laporan polis terhadap seorang pengamal media selepas individu terbabit didakwa menjatuhkan maruahnya.

Ketua Bahagian Pemasaran Nar Record, Becky Zulkepli, memberitahu laporan itu dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Katanya klip video yang ditularkan melalui aplikasi TikTok itu amat memalukan dan menyentuh sensitiviti serta maruah Neeta sebagai wanita.

“Ia dibuat dengan niat atau tujuan apa masih tidak dapat dipastikan kerana usaha untuk menghubungi individu terbabit gagal kerana tiada sebarang maklum balas diberikan hingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video memaparkan tulisan “salah parking” itu dipercayai merujuk kepada aksi pemilik nama penuh Neeta Manishaa Manogaran memegang dadanya sewaktu dia menjalani proses rakaman program All Together Now Malaysia baru-baru ini.

Kata Becky, bagi segelintir orang ia mungkin suatu perkara kecil tetapi pihak pengurusan tetap menyelar perbuatan tersebut kerana video itu mengundang kecaman dan tomahan orang terhadap anggota Neeta.

“Video tersebut masih belum di padamkan seolah-olah individu tersebut tidak mengambil peduli langsung dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Neeta, 26, yang juga vokalis iamNeeta itu berkata, dia berasa terkilan kerana individu terbabit bukanlah orang lain sebaliknya seorang pengamal media yang berjawatan tinggi.

“Neeta mengambil keputusan untuk membuat laporan polis atas desakan pihak pengurusan.

“Tapi Neeta bukanlah ingin memperbesarkan isu dan bukan ingin mengadu domba tapi agar individu itu dan sesiapa saja pengguna media sosial dapat menggunakan platform berkenaan dengan betul bukan untuk mengecam, body shaming atau buli siber, satu kesalahan di bawah akta Suruhanjaya Kominikasi dan Multimedia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS