MALAYSIANSKINI | Besar kemungkinan ada pernah menonton video parodi Douglas Lim baru-baru ini, atau sekurang-kurangnya melihatnya di garis masa media sosial.
Mula aktif sekitar lewat 1990-an menerusi sitkom Kopitiam, pelakon dan pelawak berusia 44 tahun itu kini mendapat khalayak baru menerusi video-videonya yang menyentuh isu semasa.
Misalnya ajukannya terhadap bekas pengerusi Prasana Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media susulan tragedi kemalangan LRT akhir bulan lalu yang mengundang kritikan ramai.
Video bertajuk Kisah CucukMyAz pula menyentuh isu pendaftaran vaksin AstraZeneca antaranya berkenaan masalah pada laman web akibat dikunjungi ramai pengguna. Begitu juga dengan video Lockdown: Sequel dan Essential Services Hotline yang menjadikannya pelawak Malaysia paling mendapat perhatian di internet.
Berikut adalah sebahagian wawancara Lim bersama Malaysiakini. Keratan wawancara di bawah telah disunting untuk kejelasan.
Saya sentiasa terlibat dalam komedi, walaupun kebanyakannya stand-up. Dalam stand-up, anda buat komedi berdasarkan pengamatan hal-hal seharian (observational comedy), yang merupakan jenis stand-up yang paling lazim. Dalam video parodi, ia lebih kurang sama tetapi dalam konteks berbeza.
Pusingan U, flip-flop. Bolehkah anda bayangkan jika McDonalds buat perkara sama macam kerajaan sekarang?
Jadi dalam stand-up, anda secara asasnya hanya tunjukkan yang betapa tidak masuk akal yang kita menerima hakikat ini, sedangkan ia sesuatu yang tidak akan dapat diterima dalam bidang lain.
Apa yang berbeza adalah sekarang saya lakukannya menerusi video. Orang panggilnya sebagai parodi atau satira, tetapi sebenarnya ini kerana saya tiada ruang lagi untuk buat stand-up kerana Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Jika anda sorot kembali ketika era Lat, jenaka politik adalah sebahagian daripada budaya kita, tapi kita lihat orang seperti Fahmi Reza dan Zunar ditangkap. Tetapi secara umumnya saya tidak terlalu terus (non-committal) dalam apa yang diperkatakan. Saya bukan aktivis seperti mereka. Mereka akan beritahu secara jelas mahu cetuskan perubahan, buat orang berfikir.
Saya pula preach to the choir (khalayak yang sudah setuju dengan apa yang diperkatakan). Misalnya, tiada penyokong kuat kerajaan yang akan tonton video saya dan kata "betul juga apa yang dia kata, saya akan undi parti komunis selepas ini".
Saya menghibur dan ya, dalam komedi, sentiasa ada yang akan menjadi "mangsa". Dalam kes ini, topiknya bernada politik.
Bagi saya, mereka perlu buktikan yang memang itu yang saya maksudkan. Sebab dalam video saya, kebanyakannya tidak disampaikan secara terus. Jika anda tidak tahu konteks dalam berita di Malaysia, anda tidak akan tahu apa yang saya perkatakan.
Tetapi hal ini menarik kerana saya rasa - secara umumnya - gelak ketawa tidak digalakkan dalam masyarakat kita. Malah, dengan generasi baru yang lebih sensitif, aspek mangsa dalam komedi perlahan-lahan menjadi satu masalah.
Di Malaysia, kita berada dalam ruang lingkup yang aneh dengan autoritarian berpemikiran lama, dan sukar untuk buat mereka faham tentang bagaimana mereka perlu bertindak balas. Mereka sudah biasa mengawal semuanya dan kini dengan media sosial dan alternatif, mereka menjadi meme dan mereka tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya. Jadi ada kala mereka cuba ambil tindakan terhadap Fahmi, Zunar dan akaun Twitter Bawangmana.
Pada masa sama jika anda tonton video Kisah Cucuk MyAZ, ada stereotaip LGBT di dalamnya. Saya rasa pada masa ini ada pihak yang menjuarai mangsa (victim champions), social justice warriors yang berpandangan ada banyak perkara yang anda tak boleh buat lawak.
Sebelum PKP, saya ada berbual dengan (pelawak) Harith Iskandar. Pelawak akan melawak tentang apa saja - ia sudah ada dalam fikiran kami. Kami lebih sedar (dengan keadaan), maka kemahiran kami bukan sangat tentang tahu jenapa apa yang ingin disampaikan, tetapi juga tahu bila jenaka itu tidak boleh disampaikan.
Kita sudah jadi lebih sensitif sebab itu buat lawak tentang "tren bercium" (merujuk sidang media Tajuddin) ketika tragedi berlaku bukanlah idea yang baik.
Anda tanya kenapa saya pakai bekas plastik di wajah - sebab begitulah rupanya pelitup plastik yang dipakai (Tajuddin). Media sosial telah berikan rakyat Malaysia ruang untuk ekspresikan humor mereka, dan ia mendatangkan begitu banyak jenaka. Masih ingat lubang akibat mendapan di Bukit Bintang pada 2014? Keluar begitu banyak meme (Ultraman, Raja Bomoh dan Luis Suarez dengan aksi menggigit).
Pastinya sebagai pelawak profesional, anda perlu lebih daripada itu dan sebenarnya populariti video ada naik turunnya. Sukar untuk ada sesuatu yang terjamin akan bertahan lama. Tahun lepas saya buat video Duit Talak Gay dan dapat empat juta tontonan di pelbagai platform, tetapi saya tak buat duit daripadanya kerana saya tak tahu tentang kaedah dan peraturannya.
Kemudian video Cuti Cuti Rumah Je ekoran PKP, saya ubah bahagian dalam rumah agar nampak macam kawasan pelancongan. Satu lagi berjudul Double Standard Tape. Sebelum tu video saya tentang saya ambil gambar Kabinet PH juga dapat sambutan baik. Saya rasa itu video yang jauh lebih pintar.
Tapi video terbaru ini tarik perhatian jauh lebih pantas. Bilangan kongsian dan pengikut juga meningkat.
Satu perkara tentang video-video ini - ia hanya jadi kelakar jika anda tahu apa yang berlaku. Ia boleh jadi kebaikan dan juga keburukan dalam komedi jenis ini. Jika tiada siapa tahu apa yang anda perkatakan, ia tak akan menjadi. Ia bukan jenaka universal yang berdiri sendiri.
Semuanya saya buat sendiri. Saya tulis, rakam, sunting dan buat skrip. Saya rakam guna kamera. Saya tulis dan persembahkan. Dan ya, suara di luar kamera juga saya.
Jadi itu semua ambil masa sejam. Kemudian saya muat turun footage, rakam audio secara berasingan sebab audio kamera tak bagus.
Kemudian saya perlu selaraskan audio, tambah muzik, kesan bunyi dan sunting. Saya ambil suntingan terakhir itu dan guna iMovie untuk selaraskan audio sekali lagi. Selepas itu saya guna satu lagi software untuk sari kata dan grafik. Ini boleh ambil masa dua jam. Untuk versi Twitter (Selain Facebook, Youtube dan Instagram) saya perlu jadikan video lebih pendek.
Saya tak jangka akan saksikan perubahan medium yang begitu besar dalam haya saya. Saya ingat saya ada dalam keadaan di mana saya boleh kekal buat apa yang saya buat untuk tempoh masa yang lama. Sampai mati. Tapi nampaknya bukan begitu.
Keadaan berubah. Media cetak boleh dikatakan sudah mati. Orang ramai sudah tidak membeli muzik. CD pun sudah tak dipakai lagi, jadi MP3 - jadi tiada lagi orang yang beli album. Begitu banyak yang berubah.
Sebenarnya sebelum terlibat dalam komedi, saya minat muzik. Semasa remaja, saya bercita-cita nak jadi singer-songwriter. Walaupun secara profesional saya sudah berhenti lama dulu, sekali sekala saya akan buat juga jika ada orang minta.
Sebagai pelawak, kejayaan dapat dirasakan dalam industri, tetapi untuk ahli muzik yang habiskan banyak masa curahkan semangat dan kemahiran ke atas sau karya dan karya itu akhirnya hanya menjadi latar kepada video Tik Tok orang lain, ia too much untuk saya.
Itulah ukuran kejayaan anda!
Pada 1999/2000 saya sambung belajar di UK, tetapi sebelum itu saya ingat saya seorang singer-songwriter dengan karya-karya moody seperti lagu Alanis Morissette dengan vibe introspektif. Saya buat album dengan Chelsia Ng, sebagai kumpulan bernama Indecisive. Ketika itu saya 19 tahun dan dia 14 tahun. Ia sangat teruk.
Selain lagu tema untuk Kopitiam (Empty Decorations), ia tidak mencapai tahap sepatutny dan saya ingat The Star beri penilaian yang sangat teruk. Dan mungkin selayaknya begitu.
Saya masih berhubung dengan kawan-kawan Kopitiam. Saya sering berjumpa Rashid Salleh, bekerja dengan Joanna Bessey. Baru-baru ini kami buat reunion.
Bagi aspek gaya komedi - apa yang buat saya teruja adalah video Delirious oleh Eddie Murphy. Saya ada pita videonya. Saya masih ingat yang dulu saya fikir ia sangat bagus. Steve Martin dengan gaya gila-gila tetapi saya tak begitu masuk dengan Robin Williams, yang terlalu gila. Saya tonton apa saja yang ada kerana dulu tak banyak yang kita ada.
Kemudian ada Chris Rock dan saya fikir, ini sudah naik ke tahap berbeza. Dia akan buat kenyataan umum yang sangat memisahkan (polarising), dan kemudian tunjukkan apa yang dia maksudkan. Begitu juga Louis CK. Dan kemudian Dave Chappelle muncul dan tunjukkan kepada kita apakah genius yang sebenarnya.
Saya juga tonton Original Kings of Comedy yang tampilkan Steve Harvey, DL Hughley, Cedric the Entertainer dan Bernie Mac. Saya juga tonton Blue Collar Comedy Tour - kumpulan komedi yang antara lain disertai Bill Engvall, Ron White, Jeff Foxworthy dan Larry the Cable Guy.
Antara kegemaran saya adalah Michael McIntyre. Dia begitu dekat (relatable). Dia boleh bercakap tentang rak rempah dan cara orang berjalan dan mampu jadikannya kelakar kepada semua orang.
Berkenaan apa yang berlaku di masa akan datang, saya fikir akan ada perubahan (correction) dalam soal sensitif melampau. Mereka yang tersinggung bagi pihak orang lain, dengan berkata anda tak boleh bercakap atau melawak tentang itu dan ini. Saya fikir jika ia berterusan, perubahan akan berlaku. Ia tak boleh bertahan.
Dalam komedi, akan setiasa ada yang menjadi mangsa. Sebelum kita mampu bercakap, ada lawak slapstik. Kita ketawa bila ada badut terjatuh. Kita ketawa kerana kita tahu badut ini tidak cedera. Jika kita lihat ada orang tua jatuh di tengah jalan, pastinya kita tidak ketawa. Kita akan membantunya.
Jadi sekarang ada yang kata jika anda ketawa terhadap badut ini, ia akan menjadi kebiasaan dan kita akan ketawa bila ada orang tua jatuh. No way-lah.