Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Miss Plus World Malaysia kembali... tanpa peserta Muslim

Pertandingan ratu cantik Miss Plus World Malaysia (MPWM) akan diadakan tidak lama lagi dan penyertaan sedang dibuka untuk wanita yang berminat mahu mencuba nasib.

Bagaimanapun untuk mengelak sebarang kekecohan seperti tahun lalu berulang, penganjurnya bertegas untuk mengehadkan pertandingan berkenaan hanya untuk wanita bukan Islam.

Pengarah Eksekutif Nasional MPWM 2021, Ziinine A Britshi, berkata mereka mahu mengelak pertandingan yang mengetengahkan wanita bersaiz besar itu berdepan risiko menerima ancaman daripada mana-mana pihak.

“Tahun ni kami akan sepenuhnya mematuhi peraturan dan undang-undang pemerintah Malaysia terutama mana-mana badan pendakwah atau sayap parti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan fatwa Islam yang melarang wanita Muslim menyertai pertandingan kecantikan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tahun lalu pertandingan sama menjadi perhatian beberapa pihak termasuk Pemuda PAS yang membantah penggunaan Miss atau Mrs pada nama acara kerana terdapat fatwa yang mengharamkan wanita Muslim menyertai sebarang pertandingan ratu cantik.

Mereka juga mendesak penganjuran malam gala MPWM 2020 pada 2 Jan tahun lalu itu dibatalkan kerana mendakwa program tersebut berunsur maksiat dan tidak seharusnya diadakan di negara dengan majoriti Melayu.

Selain Pemuda PAS, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang turut dipimpin pemimpin PAS pula menyifatkan acara seumpama itu sebagai menyuburkan budaya hedonisme dan mempunyai unsur mengeksploitasi wanita.

MPWM dalam kenyataan balas sebaliknya berkata, mereka menganjurkan program yang membina keyakinan selain membawa objektif memupuk kesedaran terhadap pelecehan fizikal (body shaming) dan buli terhadap wanita bertubuh besar.

Menurut Ziinine, walaupun acara itu tidak mengetengahkan kategori berbikini atau baju renang dan mempromosi beberapa sisi positif tahun lalu, mereka tetap menerima beberapa kekangan.

“Kami diminta membatalkan penyertaan wanita Muslim menjelang acara kemuncak. Kami turut diminta menukar nama program kepada Malaysia Plus World Icon barulah dibenarkan meneruskan malam gala tersebut.

“Namun, acara itu berjaya ditamatkan selain mengangkat pemenang iaitu seorang peguam dan doktor,” katanya.

Pendaftaran sesi 2021 dibuka bermula hari ini hingga 12 Ogos.

Sesi ujibakat yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah pada awal dijadual berlangsung pada 6 hingga 28 Jun ini namun terpaksa ditangguh kepada Ogos depan gara-gara perintah kawalan pergerakan dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Bagaimanapun, pendaftaran dalam talian masih diteruskan.

Pemenang MPWM 2021 berpeluang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang dijadual berlangsung Mac 2022 di AS. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS