Kunci kepada kemelut yang melanda Home of Champions (HOC) dan sebahagian anggota Search mungkin terletak pada pemain bes kumpulan itu, Nasir Daud.
Hal itu kerana pemain gitar Search, Nordin Mohd Taib atau Din, berkata tiada sebarang isu berbangkit jika Nasir tampil menjelaskan "perkara sebenar" dan bukannya membuat dakwaan yang didakwanya tidak tepat.
“Dalam isu ni, Nasirlah seharusnya tampil menjelaskan perkara sebenar. Jika dia boleh datang dan berbincang terlebih dulu dan bagitahu apa masalah sebenar, kami semua boleh elakkan pergaduhan,” katanya.
Menurut Din lagi sebelum ini dia dan Pengurus HOC, Mozylyr Mokhtaruddin, sudah memaklumkan rancangan mereka kepada Nasir terlebih dulu.
“Saya jadi pelik kenapa boleh timbul perkara begini sedangkan kami sudah berkawan kira-kira 40 tahun. Kami dah macam satu keluarga sebelum ni.
"Kita ni dah tua, bukan awal 20-an lagi... malulah. Nasir kena ingat tu,” katanya dalam sidang media diadakan secara maya petang ini.
Sebelum ini Nasir dan bekas vokalis Search, Amy, mendakwa Din, Kid dan Mozylyr menggunakan nama Search tanpa kebenaran seluruh ahli kumpulan berkenaan serta waris pemain dram mereka, Allahyarham Yazit.
Nasir dalam sidang media itu berkata, mereka pernah bersepakat bahawa sebarang projek menggunakan jenama Search mestilah mendapat persetujuan bersama sebelum dilaksanakan.
Minta jelaskan keadaan sebenar
Katanya, dia serta Amy dan waris Yazit juga tidak pernah bersetuju atau merestui perniagaan dijalankan HOC.
Untuk rekod, Amy pernah mengumumkan dia keluar daripada Search pada 20 Mac tahun lalu sewaktu tampil pada sesi wawancara dalam sebuah portal hiburan.
Kata Din walaupun persefahaman di antara dia dan Nasir tidak disokong oleh dokumen bertulis, salah faham berkenaan masih boleh dielakkan kerana kedua-dua pihak pernah berurusan untuk menjayakan projek aksesori, pakaian dan imej membabitkan Search.
Sementara itu, Mozylyr mendakwa dia sangat kecewa apabila persahabatannya dengan Nasir seolah-oleh terlerai begitu saja sedangkan mereka sebelum ini pernah sama-sama merasai kesusahan selain tinggal sebumbung.
Katanya, Nasir seharusnya berbuat perkara yang betul dan tidak "berbohong".
“Saya kecewa sebab sedikit sebanyak tahu abang Nasir ni macam mana orangnya. Abang Nasir perlu jelaskan perkara sebenar dan buat perkara betul. Bercakap yang benar, jangan bercakap bohong.
“Saya ada bukti melalui panggilan telefon, gambar dan perbualan WhatsApp dengan Nasir.
"Sebab itu, saya agak terkejut apabila Nasir membuat penafian sedangkan saya ada bukti untuk mengesahkan perkara itu,” katanya.
Menjelaskan hal bekenaan Mozylyr berkata HOC mendapat persetujuan dan kebenaran untuk mengeluarkan produk serta aksesori rasmi Search daripada Din, Kid atau Hamzah Mohd Taib dan Nasir sebelum ini.
“Segala dokumen yang berkaitan telah ditandatangani oleh Din dan telah dipersetujui untuk segala produk, reka bentuk, kuantiti yang dicadangkan dan agihan bayaran royalti kepada setiap individu yang berkaitan dengan pihak Search.
“Segala dokumen yang berkaitan telah diserahkan juga kepada pihak peguam untuk proses dokumentasi sebelum ini.
“Dakwaan mengatakan HOC tidak mendapat kebenaran Search khususnya Amy dan Nasir adalah tidak benar sama sekali.
"HOC terlibat secara langsung bagi mengeluarkan dan menjual produk rasmi Search sejak Feb tahun lalu menerusi Konsert Apologia,” katanya.