mk-logo
Seni & Hiburan
Niqab saja tak cukup, wajib pakai pelitup muka - Ismail Sabri
Diterbitkan:  May 22, 2021 6:51 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun seseorang itu berniqab atau berperisai muka di tempat awam, ia masih tidak mengecualikan individu terbabit daripada memakai pelitup muka.

Kata Ismail memakai pelitup muka di tempat awam adalah wajib mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

"Kalau memakai face shield (perisai muka) atau niqab dan sebagainya ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memakai pelitup muka sebab pelitup muka adalah diwajibkan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai situasi semasa dan pengumuman langkah mengetatkan peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di Putrajaya petang ini.

Menurut menteri pertahanan itu lagi niqab atau perisai muka hanya boleh dijadikan peralatan tambahan kepada pelitup muka.

"Jadi, kalau memakai face shield atau niqab tetapi tidak memakai pelitup muka di dalamnya ia tetap salah mengikut Akta 342,” katanya.

Ismail berkata demikian sebagai menjawab soalan media mengenai status individu yang memakai perisai muka atau niqab. 

Ia menjadi persoalan selepas selebriti dan usahawan terkenal Neelofa dilihat tidak mengenakan pelitup muka semasa hadir di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Semalam, polis memberitahu mereka membuka kertas siasatan berhubung dakwaan selebriti dengan nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor itu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim dalam kenyataannya berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sebelum ini tular gambar kehadiran Neelofa, 32, kehadirannya bersama suami di kompleks mahkamah berkenaan mengundang pelbagai respons orang ramai apabila rata-rata mendakwa dia tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.

Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail hadir di mahkamah untuk menghadapi pendakwaan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) bersyarat di sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei lepas.

Mengikut pertuduhan Muhammad Haris, 26, gagal didakwa gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera semasa mendaftar masuk atau menulis secara manual di premis berkenaan.

Dia juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Neelofa pula berdepan satu pertuduhan iaitu tidak membuat imbasan MySejahtera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS