Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mozylyr janji bersemuka dengan wartawan jawab isu Search

Individu didakwa menggunakan nama Search tanpa kebenaran, Mozylyr Mokhtaruddin, berkata dia akan mengadakan sidang media bersama Kid dan Din bagi menjelaskan dakwaan dibuat Nasir, Amy dan waris Allahyarham Yazit.

Katanya sidang media itu akan diadakan tidak lama lagi.

Namun, kata Mozylyr, pelaksanaan sidang media tersebut tetap bergantung kepada kebenaran kerajaan, keadaan semasa Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Segala persoalan yang ditimbulkan oleh Amy dan pemain bass Nasir sama ada melalui kenyataan media atau di Insta Story akan dijawab.

“Barisan peguam kami sedang memperhalusi isu yang cuba dibangkitkan dan akan mengeluarkan kenyataan penuh pada Isnin.

“Kami turut merancang untuk mengadakan sidang media selepas itu (tetapi) bergantung pada keadaan pandemik dan SOP kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia yang mendakwa sudah mengenali Search hampir 10 tahun turut berjanji untuk cuba merungkai setiap persoalan yang akan diajukan petugas media pada sidang itu nanti.

Bisnes jalan macam biasa

“Kami berjanji untuk menjawab setiap persoalan bila secara berdepan dengan wartawan nanti. Seboleh-bolehnya memang tak mahu jawab dakwaan mereka melalui aplikasi Zoom," katanya.

Terdahulu, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit, Shahmirnuri atau Boy membangkitkan isu penggunaan jenama Search melalui Insta Story Aku Amy Search.

Dalam siaran secara langsung itu, Nasir mendakwa Mozylyr cuba meraih keuntungan melalui jenama Search menggunakan beberapa platform seperti laman sesawang fenomenasearch, Facebook, Instagram dan Shopee.

Dia juga memberi bayangan seolah-olah Kid dan Nasir memang terbabit sama dalam projek tersebut namun tidak memperincikan sejauh mana kemelut terbabit berlangsung di antara mereka.

Susulan itu, Nasir memberi tempoh tujuh hari kepada Mozylyr dan mana-mana individu lain yang terbabit menjual pembarangan Search untuk menghentikan kegiatan terbabit. 

Katanya, kegagalan berbuat demikian memungkinkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, kata Mozylyr walaupun timbul isu sekarang, operasi perniagaan mereka tetap berjalan seperti biasa.

“Segala perancangan aktiviti bersama jenama Search tidak terganggu dengan isu-isu cuba ditimbulkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS