Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Guna jenama Search mesti dapat restu semua, kata Nasir dan Amy

Bekas vokalis, Amy dan pemain bes Search, Nasir Daud, mendakwa band itu pernah bersepakat bahawa sebarang projek menggunakan jenama kumpulan mereka mestilah mendapat persetujuan bersama sebelum dilaksanakan.

Kenyataan itu dibuat ketika timbul konflik membabitkan individu dikenali sebagai Mozylyr Mokhtaruddin yang didakwa menjual pakaian, aksesori atau imej menggunakan nama Search tanpa mendapat kebenaran.

Turut terpalit dalam dakwaan itu ialah dua lagi anggota Search iaitu Kid dan Din. Namun, Malaysiakini setakat ini tidak dapat memastikan sejauh mana pembabitan mereka berdua dalam projek tersebut.

“Kid dan Din boleh memakai nama Search sekiranya mendapat persetujuan daripada kesemua anggota kumpulan," kata Nasir semasa bersiaran secara langsung di Insta Story malam tadi.

Bagaimanapun menurut Nasir, dia serta Amy dan waris Allahyarham Yazit tak pernah bersetuju atau merestui perniagaan berkenaan.

Selain Nasir, sesi temu bual dengan media secara maya itu turut disertai Amy dan anak lelaki Yazit, Shahmirnuri atau Boy.

Nasir juga memberi bayangan kemelut dalaman Search antara dia, Kid dan Din memang sudah lama berlaku.

Umum tinggalkan Search

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah mengingatkan Mozylyr untuk tidak sesekali menggunakan nama Search dengan sewenang-wenangnya.

“Dia pernah bertanya sekiranya saya mahu ikut ke Melaka untuk Showcase Search. Saya beritahu dia, saya tak mahu mencampuri urusan tersebut kerana tu bukan Search.

“Saya juga cakap padanya jangan sesekali gunakan nama Search. Jika Din atau Kid nak buat showcase, gunalah nama seperti Din dan Kid Search featuring Akim Ahmad untuk program tersebut,” katanya.

Mozylir antaranya didakwa mengambil keuntungan menggunakan nama Search melalui platform media sosial dan platform e-dagang seperti Facebook, Instagram dan Shopee.

Selain itu, individu terbabit didakwa menjual kasut Aliph x Search - Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit. 

Terdahulu, Kid dan Din mengumumkan Showcase Rockology Malaysia Tour 2021 yang menggunakan Akim Ahmad selaku vokalis menggantikan Amy. Namun, showcase itu berlangsung tanpa kehadiran Nasir.

Untuk rekod, Amy pernah mengumumkan dia keluar daripada Search pada 20 Mac tahun lalu sewaktu tampil pada sesi wawancara dalam sebuah portal hiburan.

Nasir, 62, berkata pihaknya memberi tempoh tujuh hari untuk Mozylyr - atau mana-mana lagi individu yang terlibat sama - untuk menghentikan kegiatan perniagaan tersebut sekiranya tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

“Nampaknya, Mozylir ingin buat keuntungan melalui jenama Search. Kami juga akan serahkan surat tuntutan peguam untuk meminta Mozylir mendedahkan sekiranya terdapat akaun lain di bawah namanya yang turut melibatkan nama Search,” katanya.

Berselisih tapi dah berdamai

Nasir mendakwa, sememangnya Mozylyr pernah bertemu dengannya pada awal tahun ini untuk berbincang berhubung pengeluaran barangan Search.

Namun kata Nasir, dia meletakkan syarat bahawa perbincangan tersebut haruslah dibawa kepada pengetahuan semua anggota Search termasuk Amy.

“Awal tahun ni, Mozylyr datang berjumpa saya ajak berbincang berkaitan dengan pembarangan (merchandising) Search. Dia kata nak buat kasut AliphxSearch serta dokumentari.

“Perkara-perkara tersebut bukan kecil. Ia melibatkan imej, harta intelek dan sejarah yang dibina 40 tahun bersama Search. Mozylyr dakwa, dia akan memaklumkan hal itu kepada Amy.

“Jadi, saya ambil pendirian bahawa dia akan buat seperti yang dinyatakan,” katanya.

Sementara itu, Amy berkata, keputusan untuk menarik diri daripada Search sebelum ini dibuat kerana timbul perselisihan faham antara dia dan Nasir.

Namun, dia tidak pernah melepaskan mana-mana hak atau aset dikumpulkan bersama Search selama ini.

“Masa umum untuk keluar, ada perselisihan faham dengan Nasir tapi kami dah berdamai. Biasalah kawan-kawan lama.

“Tapi tak pernah pun kami bincang tentang saya berundur secara tetap. Hak-hak saya atas nama dan aset aset Search tak pernah saya hilang atau lepaskan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS