Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora akui sudah disunting tapi bukan oleh menteri
Diterbitkan:  May 19, 2021 2:16 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Penyanyi Dendam Dalam Diam, Nora Ariffin, membayangkan dia bakal bergelar isteri tidak lama lagi dan akan berkongsi detik bahagianya itu dengan orang ramai tidak lama lagi.

Nora, 47, membuat pengakuan dilamar seseorang itu ketika namanya menjadi sebutan sesetengah pihak kerana didakwa diperisterikan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Balu kepada komposer Allahyarham Johan Nawawi itu menegaskan, lelaki yang ingin menikahinya itu dia bukanlah individu dalam kalangan orang terkenal.

“Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengumumkan bahawa saya ada menerima lamaran daripada seseorang.

“Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia saya dengan anda semua tidak lama lagi,” katanya dipetik Astro Awani.

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor.

Terdahulu, kecoh spekulasi penyanyi yang turut popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu bernikah dengan Annuar dan ia menjadi semakin panas apabila majlis berkenaan kononnya diadakan di selatan Thailand.

Turut menjadi tular di media sosial ialah imej memaparkan sekeping salinan sijil pernikahan yang didakwa milik penyanyi itu dan ahli parlimen Ketereh berkenaan.

Sementara itu Annuar pula menyifatkan khabar angin kononnya dia telah berkahwin dengan seorang penyanyi tanah air sebagai fitnah untuk menjatuhkan karier politiknya. 

Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin berkata, dia sendiri tidak faham bagaimana masih timbul desas-desus sebegitu meskipun sudah beberapa kali dia menafikan perkara tersebut.

“Demi Allah, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak bernikah… saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh buat tuduhan sedemikian.

“Sudah banyak kali saya nafi, Tan Sri juga sudah menafikannya, namun, masih ada yang nampaknya tidak percaya.

“Disebabkan itu, saya fikir sudah sampai masanya saya umumkan bahawa saya ada menerima lamaran pernikahan dan sedang merancang ke arah majlis itu,” katanya.

Mengulas soal anak-anak, kesediaannya untuk bernikah sekali lagi dibuat selepas dia direstui mereka.

“Anak-anak ada berkata, mereka akan memberi sokongan terhadap apa sahaja keputusan yang baik buat saya. Mereka hanya mahu melihat ibu mereka gembira,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS