Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jelitawan dari Mexico ungguli Miss Universe 2020
Diterbitkan:  May 17, 2021 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Peserta dari Mexico, Andrea Meza, dinobatkan sebagai juara Miss Universe 2020 pada acara berprestij yang baru saja melabuhkan tirai di Seminole Hard Rock Hotel & Casino, Florida, AS hari ini.

Ratu cantik itu mengungguli 73 peserta lain pada pertandingan edisi ke-69 kali ini.

Mahkota kemenangan dipakaikan ke kepala Andrea oleh juara pada tahun lalu, Zozibini Tunzi dari Afrika Selatan.

Andrea, 26, dilahirkan di Chihuahua City, Mexico. Anak sulung daripada tiga beradik itu menjadi wanita Mexico ketiga yang diangkat sebagai Miss Universe.

Jurutera perisian yang menceburkan diri dalam bidang peragaan itu pernah memenangi gelaran Mexicana Universal 2020 dan Miss Mexico 2017 serta Naib Juara Miss World 2017.

Dia aktif dalam kegiatan sosial yang memfokus hak-hak wanita. Ketika ini, dia bekerja untuk City Institute for Women bertujuan memerangi kekerasan berdasarkan gender.

Naib juara pula dimiliki peserta dari Brazil, Julia Gama, manakala tempat ketiga diduduki finalis dari Peru, Janick Maceta.

Tempat keempat jatuh kepada peserta dari India, Adline Castelino dan tangga kelima jelitawan dari Republik Dominica, Kimberly Perez.

Peserta Myanmar, Thuzar Wint Lwin, pula memenangi kategori kostum kebangsaan pada acara itu. Semasa memperagakan pakaian berkenaan dia melaungkan perkataan "Doakan Myanmar" sempena krisis politik yang melanda negara tersebut.

Sementara itu, peserta Malaysia, Francisca Luhong James gagal menempatkan diri ke peringkat separuh akhir.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu sebelum ini berdepan masalah teknikal sewaktu menggayakan kostum tradisional bersama props gergasi diberi nama Kampungku.

Sebaik muncul saja di pentas, Francisca terpaksa menolak rumah tersebut sambil dibantu oleh tiga kru organisasi Miss Universe untuk sampai ke tengah pentas.

Belum pun sampai di tengah-tengah pentas, rumah gergasi itu dipusingkan tanpa Francisca, 25, sempat masuk untuk menukar kostumnya yang kedua - seperti dalam latihan sebelum ini.

Kostum kebangsaan itu adalah cetusan idea pereka tempatan, Carven Ong dengan kerjasama Wesley Hilton of Borneo Doll.

Ia mengangkat elemen empat budaya berbeza iaitu masyarakat Orang Asli, Melayu, Dayak dan Orang Ulu.

Walaupun kostum tersebut tidak dapat dibawa dengan gah serta berjalan lancar, Francisca masih kekal bersikap profesional dan tetap mengukir senyuman.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS