Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazley rayu k'jaan benarkan pelanggan makan di kedai
Diterbitkan:  May 7, 2021 4:07 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Menyedari banyak restoran dan kedai makan bakal terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang baru dikuatkuasakan, Fazley Yaakob merayu agar kerajaan membenarkan pelanggan makan di premis.

Penyanyi dan chef selebriti itu berkata, kerajaan perlu mempertimbang cadangan tersebut dan boleh meletakkan syarat agar setiap pengusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

“Saya terpanggil untuk berkongsi terutamanya kepada pihak berwajib, jika boleh beri peluang kepada pengusaha restoran untuk membenarkan pelanggan-pelanggan kami dine in.

“Mungkin satu meja untuk dua orang dan diperhalusi dengan SOP ketat. Perlu daftar MySejahtera, menggunakan cecair sanitasi tangan, pelitup muka hanya dibuka ketika makan dan selepas makan mereka perlu beredar,” katanya di Instagram.

Berikutan peningkatan jangkitan wabak Covid-19, kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP di Kuala Lumpur, sejumlah daerah di Selangor, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Di pihak pelanggan pula, Fazley, 43, berkata bukan semua orang dapat menempah makanan melalui penghantar makanan sepanjang masa kerana kekangan masa.

“Bukan mudah, bila balik kerja nak kena tempah makanan sebab penghantar makanan tak ramai. Mereka juga terkejar-kejar.

“Jika dibuka peluang untuk membenarkan pelanggan makan di restoran, ia mungkin boleh bantu banyak pihak,” kata pemilik nama penuh Ahmad Fadzli Yaakob itu.

Namun dia menjelaskan apa yang dilontarkannya itu sekadar cadangan selain menyampaikan hasrat pengusaha restoran yang lain.

“Itu hanyalah saranan saya kepada pihak berwajib. Jangan berkecil hati, ini hanyalah permintaan ikhlas daripada saya dan juga ramai pengusaha restoran yang lain,” katanya lagi.

Semalam, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) turut menyuarakan perkara sama, agar restoran dan kedai makan dibenarkan menerima pelanggan di premis dengan had dua orang setiap meja.

Menurut Presidennya Che Hassan Che Johan, banyak restoran yang amat terkesan apabila kerajaan tidak membenarkan makan di kedai sewaktu PKP tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS