Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Parti hari lahir Chris Brown diserbu sebab bising melampau
Diterbitkan:  May 7, 2021 2:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Kemeriahan sambutan hari lahir ke-32 Chris Brown ditamatkan tiba-tiba selepas sepasukan polis melakukan serbuan ekoran aduan orang ramai yang tidak senang dengan bunyi bising di situ pagi tadi.

Susulan itu, polis Los Angeles, AS mengarahkan tetamu untuk bersurai.

Meskipun polis tidak menyebut nama penyanyi tersebut atau mendedahkan jumlah sebenar pengunjung yang hadir, NBC4 melaporkan berkemungkinan terdapat 300 hingga 500 kenderaan diletakkan di kawasan kediaman tersebut.

Ahli Majlis Perbandaran Los Angeles, Bob Blumenfield, yang mewakili Lembah San Fernando - termasuk Tarzana, lokasi rumah Brown - menggesa komuniti di situ untuk sedar bahaya risiko penularan Covid-19 di saat ini.

“Memandangkan kita membuat banyak kemajuan terhadap perang ke atas Covid-19, kita masih perlu lakukan apa yang perlu untuk mendapatkan vaksin pula, serta bertanggungjawab memastikan lebih banyak orang tidak jatuh sakit.

“Meskipun sebelum pandemik menular, parti di kediaman-kediaman besar sebegini memang menjadi isu kerana menjejaskan komuniti.

“Namun realitinya kita masih di tengah-tengah pandemik dan perbuatan tidak bertanggungjawab menganjurkan acara begini boleh mencetuskan lebih banyak jangkitan,” katanya dipetik NBC Los Angeles.

Bunyi bising dan keadaan bertukar kecoh menganggu kawasan kejiranan itu. Parkir juga dipenuhi kereta yang menganggu lalu-lintas di sana.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat cuma ada pemilik kereta dikenakan saman kerana meletak kereta di kawasan larangan.

Brown turut berkongsikan dua posting mengenai parti itu di laman media sosialnya hari ini. 

Sementara itu, Los Angeles CBS Local melaporkan seorang jiran mendakwa memang terdapat bunyi sangat kuat datang dari arah kediaman Brown.

“Banyak sangat bunyi bising. Ia selalu berlaku di kawasan kejiranan ini sejak kebelakangan ini.

“Saya bukan kata tak boleh adakan parti, tapi kamu wajar tamatkan ia lebih awal, terutama saya ada anak sedang sakit yang perlu tidur awal,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS