Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau rugi Cef Wan tak rela 'mencekik' duit haram
Diterbitkan:  May 5, 2021 1:28 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Biar rugi kerana tidak dapat berniaga daripada merisikokan nyawa orang ramai - kata cef selebriti Redzuawan Ismail apabila ramai pelanggan restorannya gusar ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula esok.

Kebimbangan itu timbul ekoran mereka sudah membuat tempahan dan membayar caj yang dikenakan untuk berbuka puasa di restorannya.

Justeru Redzuawan atau lebih mesra disapa Chef Wan itu berkata, orang ramai tidak perlu gusar dengan hal itu.

Katanya walaupun sama seperti pengusaha restoran lain yang turut terjejas akibat PKP, dia tiada masalah untuk memulangkan semula kesemua wang pelanggannya.

“Jangan risau, saya tak nak 'mencekik' duit haram, ambil tapi tak pulang balik.

“Tak ada masalah besar pun. Tapi jika orang kesayangan kita mati esok, ya itu adalah masalah besar,” katanya.

Malah secara berseloroh, Chef Wan meminta pelanggannya yang sudah menempah slot berbuka puasa itu untuk tidak terus berasa susah hati.

Tak ada siapa suka

“Mana-mana yang susah hati sebab dah bayar tempahan buffet di restoran saya tapi tinggal di kawasan PKP jangan la susah hati. Ya Allah.... saya baca komen kamu gelak sungguh la.

“Adakah kamu semua gila? Saya CW (Chef Wan) di mana nak sorok muka saya ni (jika tak pulangkan wang kembali)? Tak jadi masalah. Wang tu semua masalah kecil.

“Nyawa lebih penting atau duit?” soalnya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam daerah di Selangor diletakkan di bawah PKP bermula 6 Mei hingga 17 Mei depan.

Dalam pengumumannya semalam, Ismail Sabri turut memaklumkan pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan di enam daerah tersebut.

Pun begitu, naib presiden Umno itu berkata pengecualian rentas daerah dan negeri di kawasan PKP ini dibenarkan untuk kes kecemasan seperti berlaku kematian. 

Pada masa sama, Chef Wan tidak menafikan situasi yang berlaku memang memberi kesan terutama kepada pengusaha restoran seperti dia yang menggaji pekerja dan pada masa sama perlu membayar kos utiliti.

Namun katanya hal itu tidak bermaksud rakyat perlu terus mengeluh memandangkan ia membabitkan isu keselamatan awam.

“Memang boleh rugi sampai beratus ribu sebulan. Tiada siapa menyukai apa yang berlaku.

"Tapi apabila bercakap mengenai keselamatan awam dan negara, semua orang kena patuh, cuba fahami dan bertimbang rasa serta kurangkan membawang,” katanya.

Bagaimanapun, Chef Wan berkata, cuma salah satu restorannya saja setakat ini yang terjejas akibat PKP.

“Yang tutup will be cawangan di Bangi saja. Ala bertenang, ia cuma makanan. Tak dapat melantak kali ni tahun depan boleh cuba lagi. Jangan la drama sangat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS