Meskipun dikritik warganet kerana isu mengadakan majlis tahnik yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Siti Nurhaliza Tarudin kelihatan kekal positif.
Siti Nurhaliza malah meluahkan rasa terujanya kerana menganggap apa yang berlaku kini membolehkan dia menerima banyak pahala.
Tambahan pula katanya ia berlaku semasa Ramadan yang mulia menghampiri penghujungnya.
“Alhamdullilah saya patut tengah seronok ni, (dapat) kumpul pahala banyak-banyak 10 malam terakhir ini, kata ustaz bila berhadapan dengan dugaan ini.
“Betullah ustaz, dapat pahala free (percuma) berganda-ganda pula itu. Alhamdullilah,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story malam tadi.
Baru-baru ini media sosial bergelora dengan rasa tidak puas hati orang ramai akan tindakan penyanyi Biarlah Rahsia itu dan suaminya, Khalid Mohamad Jiwa, yang mengadakan majlis untuk mentahnik anak keduanya.
Selain tahnik, Siti Nurhaliza turut menganjurkan majlis akikah dan maulid buat Muhammad Afwa pada 27 April lalu.
Menerusi beberapa keping gambar di akaun Instagram Siti Nurhaliza, majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad, dan tiga penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.
Susulan itu, pengguna media sosial mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa mengenakan larangan dan pengawasan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) ke atas orang kenamaan dan selebriti.
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertanyakan keutamaan yang wajar dibuat oleh pihak berkenaan, sama ada menziarahi ibu bapa atau memenuhi undangan artis.
Namun pada 3 Mei lalu, Siti Nurhaliza menerusi satu kenyataan media, menyangkal dakwaan kewujudan pelanggaran SOP Covid-19 dalam majlisnya.
Azhar - yang berasal dari Terengganu - juga menjelaskan kehadirannya dalam majlis tersebut dengan menyatakan dia sudah lama berkawan dengan Khalid.
Ia berlaku ketika seorang lagi selebriti, Neelofa, dan suaminya menarik perhatian ramai apabila didakwa membeli-belah permaidani di Nilai, Negeri Sembilan dan menayangkannya di media sosial.
Ia bagaimanapun dipadamkan selepas itu.
Sementara itu, Siti Nurhaliza turut berkongsi reaksi positif salah seorang peminatnya yang menyifatkan dia telah menjadi mangsa tular.
Jelasnya peminat penyanyi terbabit dia juga percaya Siti Nurhaliza tidak akan melanggar sebarang SOP PKP sewaktu mengadakan majlis tersebut.
Peminat- terbabit - menggunakan akaun cucukrimbun.my - turut menyatakan tindakan orang mengkritik Siti Nurhaliza adalah kerana dia merupakan penyanyi nombor satu Malaysia.
“Rakyat biasa juga anjurkan majlis keramaian tetapi kerana dia Siti Nurhaliza dan jemputannya orang penting. Ramai yang kurang senang,” kongsi penyanyi itu di ruangan Instagram Story sambil membalas "Alhamdullilah."