Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat gagal rayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam
Diterbitkan:  Apr 30, 2021 5:22 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Usahawan kontroversi Nur Sajat Kamaruzzaman dan dua pihak lagi gagal mendapat kebenaran untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi hampir RM200,000 kepada pengasas OWA Resources, Nurwati Hussin.

Peguam OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan berkata Mahkamah Rayuan juga mengarahkan Sajat membayar kos guaman sebanyak RM5,000.

“Keputusan notis usul kebenaran merayu ditolak oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, OWA Resources memfailkan saman terhadap Nur Sajat Aesthetic di atas kegagalan syarikat itu membekalkan bengkung dan girdle yang dipesan oleh stokis itu antara Februari dan April tahun 2018.

Sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, Nurwati menang kes pelanggaran kontrak tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Januari 2020.

Mahkamah Sesyen mendapati peguam plaintif membuktikan pada keseimbangan kemungkinan (on the balance of probabilities) yang ketiga-tiga defendan - Sajat, pembantunya Ashaari Maznan, dan syarikat Nur Sajat Aesthetic - telah melanggar kontrak perniagaan dengan Nurwati.

Selepas itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan OWA Resources berkaitan ganti rugi dan kos yang tidak diberikan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi setuju ada bukti yang cukup bagi meningkatkan bayaran, menjadikan jumlah ganti rugi dan dan kos yang perlu dibayar kepada OWA Resources hampir RM200,000.

Semasa perbicaraan, Nurwati ditahan polis untuk disoal siasat apabila Sajat dilaporkan membuat laporan polis palsu yang mendakwa dia menyelewengkan wang syarikat dan melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta.

Saman balas Sajat terhadap Nurwati juga ditolak Mahkamah Sesyen yang memutuskan ia bersifat fitnah.

“Ingin saya tegaskan bahawa anak guam saya bukannya penjenayah seperti digambarkan pihak-pihak tertentu sebelum ini dan kemenangan kes ini merupakan testimoni yang mahkamah setuju dengan semua bukti yang telah dibentangkan.

“Keputusan hari ini telah memulihkan dan mengukuhkan imej, reputasi dan jenama perniagaan OWA Resources yang dilanda krisis undang-undang, ekonomi dan persepsi negatif.

"Anak guam saya kini berada di landasan yang betul untuk terus berjaya dengan perniagaan mereka,” tambah Nurul Hafidzah.

Sementara itu Nurwati melahirkan perasaan syukur dan terima kasih kepada peguamnya, Nurul Hafidzah dan Zeti Zulkifli, yang menurutnya berjaya mendapatkan semula modal perniagaan bagi stok yang tidak dibekalkan dan juga membantunya semasa dalam tahanan polis.

“Nama saya dan syarikat kini telah dibersihkan dan saya hargai bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak yang berkenaan sepanjang proses membuktikan kebenaran.

“Saya sendiri nampak barisan peguam saya bekerja dengan gigih bagi memastikan saya menang kes ini.

"Terima kasih juga kepada semua pihak berkepentingan syarikat termasuk pekerja dan para pelanggan yang masih membantu saya,” ujar Nurwati yang merupakan bekas stokis utama Sajat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS