Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuk lega rezeki terus 'murah' walau terpalit kontroversi

Pelawak Shuk Sahar bersyukur walaupun terpalit kontroversi mengenai pergolakan rumah tangga, konflik itu tidak menutup peluang untuknya terus mencari rezeki buat keluarga.

Katanya, memang ada beberapa pihak yang membatalkan tawaran kerja diberikan sebelum ini, namun masih ada juga yang seikhlas hati terus membuka peluang untuknya.

“Tak perlulah saya beritahu pihak yang membatalkan tawaran. Namun, hakikatnya, memang ada beberapa tawaran dibatalkan.

“Tapi, bukanlah semua. Job yang dilakukan tahun lalu, majikan tersebut masih beri peluang sama. Contohnya, program I Can See Your Voice (ICSYV) musim baru.

“Ni antara program kesayangan. Saya bersyukur masih diberi peluang untuk terus menjayakannya.

“Memang saya bersyukur sangat-sangat, walaupun diuji masih ada rezeki Allah berikan untuk saya menyara keluarga,” katanya.

Shuk ditemui pada majlis pelancaran kempen Ramadan Raya Jakel 2021 dan pelantikannya sebagai duta produk berkenaan di Jakel Mall di ibu negara, baru-baru ini.

Pengurusan stesen radio Hot FM menamatkan kontrak Shuk, 35, sebagai penyampai radio selepas isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera mendakwa dia berlaku curang dengan wanita sama.

Ia didedahkan oleh Rossalennah melalui beberapa siri entri di Instagram mengenai hubungan bekas peserta Raja Lawak itu dengan wanita terbabit.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratul Ain dan Nur Assyifatu Aimy.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Shuk atau nama penuhnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, berjanji untuk tidak akan mengulangi perbuatan sama terhadap isterinya itu.

Katanya, apa yang berlaku menyebabkan dia berasa kesal selain tidak akan mengulangi perbuatan curang itu sekali lagi. 

Mengulas pembabitannya sebagai duta, Shuk berkata, dia bersyukur gedung tekstil berkenaan masih sudi melantiknya menjalankan tugas promosi buat tahun kedua.

Pada masa sama, Shuk berkata, dia bersyukur memiliki rakan-rakan yang sering memberi sokongan sepanjang dirinya dilanda kontroversi.

“Ada yang ambil berat seperti saya ahli keluarga mereka. Saya bersyukur dikurniakan kawan-kawan yang baik.

“Misalnya dalam satu pertandingan yang membabitkan saya, Mark Adam dan Achey. Jika saya jadi mereka, mungkin akan fikir banyak untuk ambil orang macam saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS