Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Niat Neelofa bukan nak sindir tapi bantu peniaga burger
Diterbitkan:  Apr 27, 2021 10:09 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Neelofa menafikan dia menyindir seorang peniaga apabila memuat naik imej burger selang beberapa jam dia dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 hari ini.

Melalui InstaStorynya usahawan selebriti itu berkata, sudah ramai yang tersalah sangka dengan perkongsiannya itu.

“Ya Allah SWT, ramainya salah anggap dan bersangka tidak baik.

“Sebelum muat naik foto tersebut, saya telah hubungi pihak peguam dan polis untuk bertanyakan secara terperinci mengenai kompaun yang dikenakan terhadap individu berkenaan,” katanya.

Menurut Neelofa, 32, sebenarnya dia sekadar cuba membantu menyelesaikan bayaran kompaun lelaki tersebut.

“Saya juga minta untuk bantu menyelesaikan bayaran (kompaun) dengan izin Allah SWT,” katanya.

Mengiringi perkongsian tersebut, pelakon Suri Hati Mr Pilot itu turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama peguamnya.

Ia memaparkan Neelofa sedang mendapatkan jumlah sebenar kompaun yang dikenakan terhadap peniaga berkenaan.

Terdahulu, tindakan Neelofa memuat naik sekeping gambar burger dengan kapsyen jom moreh dalam InstaStorynya mengundang kecaman netizen.

Ia dimuat naik selepas Polis Diraja Malaysia mengeluarkan kompaun RM20,000 kepadanya kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.

Suaminya, Haris Ismail atau PU Riz juga dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar kebenaran merentas negeri.

Selain itu, 20 anggota keluarga Neelofa yang hadir dalam majlis perkahwinan itu turut dikenakan kompaun RM1,500 seorang kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.

Kesemua kompaun dikeluarkan hari ini berjumlah RM60,000. 

Sementara itu, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu turut berkongsi sepotong hadis yang menyatakan keistimewaan diperoleh sekiranya seseorang membantu orang lain yang dalam kesusahan.

“Rasulullah SAW menjelaskan, kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya; Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah SWT akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari Kiamat.

“Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat,” hadis riwayat Muslim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS