Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

"Chow Kit Road
Chow Kit Road
Chow Kit Road
Chow Kit Road!"

Tanggal 10 April lalu, TV Alhijrah menyiarkan dokumentari khas mengenai Konsert Chow Kit Road - Sudirman. Dokumentari eksklusif diterbitkan pasangan suami isteri Fara Syazween (penerbit) dan Yusuff Yunus (pengarah) itu disiapkan sempena memperingati detik bersejarah pada 35 tahun silam.

Pada 14 April 1986 negara menyaksikan bagaimana seorang penyanyi terkenal tanah air berjaya menghimpunkan beribu-ribu orang di kawasan terbuka di tengah-tengah ibu kota.

Majoriti orang menganggarkan konsert di Jalan Chow Kit itu dihadiri kira-kira 100,000 penonton berdasarkan kawasan dari tapak konsert hingga ke persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman - Jalan Sultan Ismail.

Itu cuma congakan rambang yang boleh dikira mengikut sedap gigi. Logiknya konsert itu cuma boleh dilihat dari jejantas di kawasan Chow Kit hingga ke bangunan Pustaka Antara yang juga ibu pejabat lama Umno saja.

Jika orang ramai berduyun-duyun dari Pustaka Antara ke Maju Juntion Mall (dulu disebut orang sebagai kawasan Banggunan Mara), mereka cuma dapat melihat lautan kepala manusia. Sudirmannya takkan boleh nampak.

Untuk menyiapkan dokumentari khas itu pelbagai tokoh ditemu bual termasuk bekas ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Pelancongan, rakan artis, komposer, peminat, bekas pengurus Sudirman, dan wartawan hiburan yang membuat liputan konsert berkenaan, Saodah Ismail.

Saya juga tidak terkecuali ditemu bual tetapi yang disiarkan cuma tiga hingga lima detik apabila visual dipaparkan ketika itu ialah slaid berita muka depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk Musa Letak Jawatan.

Terasa seperti tidak relevan di situ. Apa kena-mengena hiburan dikaitkan dengan politik?

Peristiwa Memali dan Jambatan PP

Sememangnya sukar menidakkan kehebatan konsert Sudirman di Chow Kit itu. Cumanya tidak salah kita mengajak untuk berfikir sejenak: apakah ada agenda istimewa konsert itu perlu diadakan? Dan mengapa cuma sekali itulah saja konsert sebegitu?

Lima bulan sebelum konsert Chow Kit Road berlangsung - atau tarikh tepatnya 19 Nov 1985 - berlaku peristiwa Memali di Baling, Kedah. Tragedi berdarah mengorbankan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta anggota polis itu dilihat mencalar teruk imej pasukan keselamatan.

Ia juga merosakkan ingatan cantik 1985 apabila tahun tersebut menyaksikan Malaysia melancarkan kereta buatan tempatan pertama, Proton Saga pada Julainya.

Lima hari sebelum Memali berdarah juga Jambatan Pulau Pinang dirasmikan.

Pergolakan politik negara kian meruncing apabila Musa Hitam meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri pada 16 Mac 1986.

Kurang sebulan selepas konsert Chow Kit Road itu berjaya diadakan, Ghafar Baba dilantik mengisi kekosongan jawatan timbalan perdana menteri yang ditinggalkan Musa.

Melihat senario rakyat mulai bersatu hati, kerajaan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) diadakan. PRU kali ketujuh itu diadakan pada Ogos 1986.

Konsert Chow Kit Road diadakan sempena Persidangan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 16 April 1986.

Justeru selayaknyalah Sudirman beraksi di konsert itu kerana dia merupakan Duta Pata yang sinonim dengan lagu Kenali Malaysia, Cintai Malaysia.

Harus diingat Chow Kit itu tumpuannya warga kota pelbagai bangsa. Pasar basah terbesar, pusat beli-belah seperti Batu Road Supermarket dan Keramat Supermarket, hotel, pusat tusyen dan sebagainya - semua ada di sekitar kawasan itu.

Bertiket pun ribuan datang

Bas dari pelbagai destinasi juga melaluinya. Ketika itu Jalan Tuanku Abdul Rahman bukan macam sekarang. Semasa itu jalan tersebut masih merupakan laluan dua hala.

Ramai juga terkeliru. Jalan Chow Kit itu cuma jalan kecil sahaja, dan konsert Sudirman hakikatnya berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun tarikan komersial Chow Kit Road selalu melenyapkan nama Tuanku Abdul Rahman.

Konsert terbuka dan percuma kalau diadakan seperti di Chow Kit itu, usahkan Sudirman, letak M Daud Kilau atau Sharifah Aini pun berduyun-duyun orang akan datang menontonnya. Penduduk Kampung Baru berdekatan Chow Kit sudah cukup untuk memenuhkan konsert berkenaan.

Ketika itu untuk menonton konsert percuma bukannya mudah. Sudirman pula tergolong sebagai penghibur profesional di bawah pengurusan Mike Bernie.

Dulu keadaannya tidak seperti era sekarang apabila konsert percuma bersepah-sepah diadakan.

Jika konsert Chow Kit Road Sudirman itu percuma, berbeza pula konsert rock Battle Of The Bands yang mencetuskan kontroversi di Sungai Nibong pada Sept 1986.

Biarpun dikenakan tiket, tetap ada beribu-ribu peminat sanggup membelinya demi menonton aksi idola mereka.

Sudirman pada era kemuncaknya beruntung kerana ditatang oleh akhbar-akhbar besar. Apa sahaja dibuat Sudirman akan mendapat liputan meluas.

Berbeza akhbar nyamuk yang menjadi majikan saya ketika itu. Jika ulasan terhadap konsert Sudirman senada dengan akhbar-akhbar besar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times, siapakah yang akan membeli dan membaca akhbar nyamuk ?

Hal ini samalah ketika majlis penutupan Sukan SEA Ke-15 (1989) di Stadium Merdeka. Sudirman mengajak penonton menyalakan pemetik api tanda penghormatan diberi pada dua anggota payung terjun negara yang terkorban sewaktu latihan.

Akhbar besar memuji semangat patriotik ditunjukan Sudirman dengan baju Jalur Gemilang berjela-jela. Sebaliknya ada akhbar nyamuk meletak tajuk Sudirman ajak penonton amalkan fahaman Majusi. Mereka berpendapat lebih baik Sudirman menghadiah al-Fatihah, bukannya menyalakan api.

Selepas lebih 10 kali membuat liputan program Sudirman, saya melihat sesekali ada juga tindakannya nampak kurang profesional. Umpamanya pada satu program di Port Dickson dengan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu Isa Samad menjadi tetamu.

Sidang akhbar secara terbuka dan keadaan menyebabkan berlaku keadaan tidak menyenangkan apabila peminat bersilang-silang meminta autograf. Celah bahu ada, atas kepala ada.

Lalu Isa bersuara menyindir: "Kalau gini sampai malamlah tak habis..."

Sudirman kini khazanah seni negara. Tidak dapat tidak, figura bertubuh kecil itu akan dikaji oleh generasi hari ini dan akan datang untuk menambahkan lagi informasi.

Dan tidak mustahil ada sisi-sisi yang tidak pernah diperkatakan atau selama ini disembunyikan akan terungkap suatu hari nanti.

Itulah harga harus dibayar oleh seseorang yang dikenali ramai, sama ada artis, selebriti atau ahli politik. Jika Titanic yang ternggelam seabad lalu pun masih terus dikaji, apa sangatlah Sudirman Haji Arshad itu.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan akhbar nyamuk sebelum menjadi pengarang berita dalam akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS