Beberapa hari sebelum dia ditemui meninggal dunia, pengarah Dev Rajah berkongsi sebuah video menjelaskan bagaimana ekonominya merudum ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0.
Kata mendiang, pada awal dia menjangkakan boleh mengatasi kesempitan yang melanda apabila mengusahakan perniagaan sendiri, namun sebaliknya memaksa dia berhutang.
Atas sebab itu menurut Rajah, dia hilang kepercayaan terhadap diri sendiri.
“Pandemik memang menjejaskan banyak pihak. Pada PKP pertama, saya benar-benar ada masalah kewangan, bukan sebab tiada kerja tapi kerana cuba berdikari sendiri.
“Saya ingat boleh bergerak sendiri, usahakan perniagaan sendiri sebagai seorang pengarah, tapi akhirnya saya dapati ia memang satu keputusan yang salah.
“Saya tak salahkan sesiapa tapi diri sendiri kerana terlalu percayakan keyakinan yang ada,” katanya di media sosial.
Rajah ditemui meninggal dunia di kediamannya di Jalan Air Panas, Setapak pada 23 April lalu.
Berdasarkan maklumat awal daripada saksi dan rakan sekerjanya, sebelum itu mendiang minta agar tidak diganggu dan hanya ingin bersendirian dalam bilik.
Hasil titik peluh sendiri
Media melaporkan apabila polis dipanggil mereka terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memecah pintu bilik Rajah yang terkunci dari dalam.
Kematian Rajah diklasifikasikan polis sebagai mati mengejut.
Sepanjang 15 tahun berkecimpung sebagai penggiat seni, Rajah berkata dia terbabit dalam kira-kira 500 rancangan realiti dan sitkom pelbagai bahasa seperti bahasa Tamil, Inggeris, Melayu, Malayalam, Telegu, Cina, Hindi dan Punjabi.
Namun, yang menambah kekecewaannya, hasil usaha itu dirasakan tidak mendapat pengikitirafan sepanjang hidupnya.
“Dah 15 tahun berada dalam industri. Saya bermula sebagai talent, jadi penolong pengarah dan akhirnya pengarah.
"Begitulah proses saya berkembang. Apabila tak dapat pengiktirafan, saya rasa macam apa yang dilakukan cuma satu pembohongan,” katanya.
Jelas Rajah lagi, keadaan kewangannya bertambah merosot apabila kerajaan melaksanakan PKP fasa kedua walaupun pada awalnya menunjukkan sedikit tanda positif.
Katanya ia diikuti dengan beberapa perkembangan yang tidak dijangka.
Pada penghujung video itu, Rajah memberi bayangan apa dilaluinya itu bakal berakhir dan dia mahu menghadiahkan buah tangan terakhirnya buat peminat.
Katanya, walaupun tidak besar, projek tersebut adalah sesuatu yang “indah” kerana ia dihasilkan dengan titik peluhnya sendiri.
“Saya nak umumkan projek yang seterusnya. Saya buat video muzik. Tapi ia bukanlah muzik yang besar, lagu juga dicipta sendiri, semuanya untuk kepuasan kerana ia menjadi projek terakhir saya sebagai pengarah.
“Saya nak hadiahkan sesuatu yang indah, tu sebab semuanya saya buat sendiri. Dengan video bajet murah ni, saya harap kamu semua akan suka dan ia juga hadiah terakhir saya.
“Kamu mungkin akan berpendapat kita akan akan gagal dalam melakukan sesuatu. Bagi saya, cukuplah kegagalan yang ada. Terima kasih atas sokongan. Saya secara rasminya sign off,” katanya mengakhiri perbualan.
Untuk makluman, sekiranya berasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah di laman web https://www.befrienders.org.my.
Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membuat talian sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan orang lain yang secara emosional terjejas oleh wabak Covid-19.
Talian itu boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.