Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Covid-19 jadi alasan penganjur ambil kesempatan atas artis
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 9:46 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Isu penganjur menawarkan harga murah melampau untuk menghargai penat lelah persembahan artis masih belum berkesudahan.

Kali ini sesuai dengan keadaan semasa mereka menggunakan alasan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan untuk menghalalkan tawasan yang dianggap tidak masuk akal itu.

Menurut Ameng walaupun faham kesulitan yang dihadapi pelbagai pihak dan ruang mengadakan persembahan jauh berbeza dari sebelum ini, namun ia bukan alasan untuk penganjur persembahan memberi bayaran tidak munasabah.

"Ada yang nak bayar RM150 saja... malah paling teruk RM100 pun ada!

"Paling tak logik, ada sebuah agensi kerajaan mahu menganjur majlis makan malam tahunan seluruh zon di selatan tanah air, tapi nak bayar RM500 saja.

“Bayangkan sampai begini sekali mereka sanggup. Namun saya tak salahkan mereka kerana ada juga artis yang sanggup ambil bayaran sebanyak itu," katanya dipetik Harian Metro.

Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, bagi artis yang kurang mendapat tawaran, mereka tiada pilihan sehingga terpaksa menerima berapa saja harga yang diberi.

"Secara tidak langsung, artis ini sendiri yang mengajar pihak terbabit supaya menganggap semua artis sama dan mudah setuju dengan tawaran mereka,” katanya.

Ameng, 52, juga berkata hal yang sama berlaku apabila ada syarikat produksi cuba menggunakan artis dengan menawarkan harga rendah untuk sesebuah penggambaran.

"Bayangkan program mengenai diari kehidupan iaitu satu tajuk yang besar dan tayangan selama satu jam pula.

"Penggambaran mengambil masa sehari suntuk tapi bayaran cuma RM1,000 dan ia sangat tak berbaloi.

"Saya memang tolak tawaran itu, tapi yang tak seronoknya mereka akan anggap saya pula yang demand," katanya.

Justeru, Ameng berkata, dia akan meneliti terlebih dulu bentuk persembahan dan bayaran sebelum memberikan persetujuan.

"Sekiranya program untuk anak yatim atau nak kutip dana saya boleh faham, tetapi kalau buat acara yang besar dan bayaran untuk penyanyi murah memang ia sesuatu yang tak wajar.

"Semua orang tahu, kalau acara besar pasti bajetnya pun besar. Jadi, takkan nak bayar murah kepada penyanyi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS