Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Otai' seni pun tak terkecuali hadapi masalah ekonomi - Eric Fuzi

Bimbang nasib tidak menentu dalam industri tempatan, pemain keyboard Floor 88 Eric Fuzi bertekad mencari pendapatan alternatif.

Justeru pilihannya ialah mengusahakan perniagaan medan selera bersama dua lagi anggota kumpulan itu.

Kata Eric, kegusarannya itu tercetus selepas melihat landskap muzik tanah air dan veteran dalam industri yang tetap dilanda masalah ekonomi walaupun suatu ketika dulu mereka pernah terkenal dan disanjung ramai.

“Tak boleh nak kata rezeki seseorang artis tidak boleh bertahan dalam bidang ni. Jika ada rezeki, mereka tetap boleh bertahan.

"Cuma bagi saya, adalah lebih baik kalau bersedia dengan segala kemungkinan iaitu sediakan back up plan (pelan sokongan).

"Kita semua bergantung pada rezeki Allah SWT tapi tetap kena beringat bahawa industri negara kita ibarat putaran roda, ada tarikh luput," katanya.

Jika tidak luput pun katanya seseorang itu masih perlu berehat sebentar disebabkan pasaran tempatan yang tidak sebesar mana.

"Yang paling lejen pun pernah senyap,” katanya.

Lebur begitu saja

Meskipun medan selera itu adalah perniagaan yang pertama diusahakan, Eric berkata dia memang sudah dibiasakan untuk mencari pendapatan sampingan itu bermula sejak kecil, iaitu ketika di bangku sekolah.

Menurutnya, pada waktu itu dia belajar berniaga dengan menjual produk yang diusahakan oleh ibunya.

“Saya jual tudung mak saya kepada cikgu-cikgu sekolah,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhamed Eric Muhamad Fuzi itu ditemui pada majlis pelancaran Masok Foodcourt di Kampung Baru, Kuala Lumpur kelmarin.

Turut hadir, pengusaha Masok Foodcourt iaitu gitaris Floor 88, Zai Hamzah atau Achoi dan pemain basis, Muhammad Falikh Ghazali atau Falique.

Masok Foodcourt dijayakan oleh vendor yang juga terdiri daripada rakan artis seperti Aiman Tino, Ismail Izzani, Nabila Razali, Ara Johari, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran.

Mengulas cabaran perlu didepani untuk membuka perniagaan tersebut, Eric berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan kedai tidak boleh beroperasi.

Menurutnya, akibat PKP selama tiga bulan juga wang berjumlah hampir RM30,000 terpaksa direlakan lebur begitu saja bagi melunaskan bayaran sewa tapak.

“Kami hanya betul-betul beroperasi pada 16 Mac lalu. Dari Januari sampai Mac langsung tak buka sebab PKP.

“Tapi Alhamdulillah, hari pertama buka, medan selera ni dapat sambutan. Harapan kami nak buka hingga 100 meja cuma bagi mematuhi prosedur operasi standard, kami hanya berpeluang membuka 60 meja saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS