Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mudah rasa tenang mungkin tanda syaitan dah berjaya tipu, kata Nabil

Sejak menyertai gerakan tabligh, pengacara dan pelakon Nabil Ahmad nampaknya mempunyai pengertian baru mengenai makna tenang dan bahagia.

Kata Nabil, di dunia yang bersifat sementara ini, jika seseorang berasa hidupnya mudah berasa tenang, itu mungkin petanda syaitan sudah berjaya menipu mereka.

Justeru, menurutnya, seseorang manusia yang beriman perlu sentiasa ada kerisauan terutama apabila memikirkan soal kehidupan abadi di akhirat.

“Melalui apa yang saya pelajari, di dunia ni jika kita dengan mudah boleh cakap kita dapat ketenangan, tu menipu sebenarnya. Itu sudah tentu permainan syaitan.

"Hidup di dunia ni kita perlu sentiasa ada rasa risau. Kerisauan tu adalah untuk hari akhirat nanti,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, juara Raja Lawak 2008 itu berkata, definisi hati yang tenang dan bahagia untuknya lebih menjurus kepada kehidupan di syurga.

“Jika nak betul-betul seronok, betul-betul gembira dan tenang hanya di akhirat iaitu untuk orang yang masuk syurga.

"Orang yang betul-betul beriman akan menemui kebahagiaan dan dalam kebahagiaan tu tetap akan ada ujian.

“Jika ujian pula berat, maksudnya Allah sayang dia. Dan apabila dia boleh hadapi ujian, itulah maksud sebenar kebahagiaan,” katanya.

Bila bagi, Dia bagi sungguh

Nabil berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Ramadan Raya Jakel 2021 yang berlangsung di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi perjalanannya selepas menyertai jemaah tabligh, Nabil, 37, berkata dia berasa nikmat Ramadan kali ini agak berbeza kerana timbul perasaan istimewa yang tidak pernah dialami.

Menurutnya, semakin rancak dia mendalami ilmu agama, banyak perubahan mula berlaku dalam kehidupannya terutama punca rezeki yang dilihat semakin bertambah-tambah.

“Ia lebih berharga buat saya. Setiap masa rasa, sepanjang hari dalam bulan Ramadan rasa nak buat amal. Hasilnya, banyak yang Allah SWT bagi.

“Sekarang saya dibukakan rezeki untuk mengusahakan sebuah lagi perniagaan. Sekali Dia dah bagi (rezeki)... Dia bagi sungguh,” katanya.

Kata Nabil, dulu dia pernah berasakan imannya tidak pernah cukup dan ia membuatnya risau jika tidak berkesempatan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Sebab itu menurut Nabil, seboleh-bolehnya pengalaman dilalui itu dia ingin kongsikan dengan rakan-rakan selebriti yang lain untuk sama-sama mengejar amalan di dunia.

“Hari-hari saya dipenuhi kerisauan, jika mati tak sempat buat amal yang cukup. Alhamdulillah Allah beri petunjuk dan jalan untuk sertai tabligh.

“Saya berazam untuk ajak lebih ramai menyertai gerakan ini, jika boleh nak ajak orang sekampung dan kawan-kawan dalam industri dekatkan diri dengan Allah.

“Saya dah jumpa sesuatu yang boleh ubah pemikiran dan sikap saya yang cepat nak marah, mungkin mereka juga boleh temui sesuatu yang lebih berharga buat diri masing-masing jika turut menyertai tabligh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS