Pelakon veteran Abu Bakar Omar menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Central, Alor Setar akibat masalah jantung.
Allahyarham berusia 72 tahun.
Berita itu dimaklumkan oleh anaknya Mohd Zainuddin melalui Facebook hari ini.
“Dengan sedih keluarga memaklumkan bahawa ayahanda kami Abu Bakar Omar telah dijemput kembali ke Rahmatullah,” katanya.
Menurut Mohd Zainuddin, urusan pengkebumian jenazah bapanya akan dilakukan selepas solat Jumaat sebentar lagi.
“Jenazah akan diuruskan di nombor 7 Jalan Bukit Nyamuk Mukim Kurung Hitam Kuala Nerang. Solat jenazah dijangka dilakukan selepas solat Jumaat.
“Jenazah akan disemadikan dan disolatkan sekali lagi Masjid Al Ghufran di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai Alor Setar Kedah selepas Solat Asar Insya-Allah,” katanya.
Dia juga memohon doa agar dosa Allahyarham diampunkan selain ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan soleh.
“Mohon doakan Ayahanda kami diampuni segala khilafnya dan ditempatkan bersama para solihin.
“Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap Almarhum ayahanda kami sepanjang hayatnya bersama masyarakat warga nusa ini,” katanya.
Sementara itu, Bernama pula memetik Mohd Zainuddin sebagai berkata bapanya dibawa ke KMC selepas waktu berbuka puasa semalam, berikutan keadaannya jelas keletihan dan lemah sejak dua hari lepas.
"Arwah sebelum ini tidak menghidap sebarang penyakit, tetapi dalam dua hari ini dia letih, jadi ahli keluarga bawa dia ke hospital. Masa itu, walaupun kelihatan letih dia masih boleh bersembang seperti biasa,” katanya.
Dia berkata pemeriksaan doktor mendapati jantung bapanya itu bengkak dan arwah kemudiannya dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), sebelum dimaklumkan bahawa keadaannya bertambah kritikal pada lewat malam.
Abu Bakar, terkenal melalui pembabitannya dalam drama seperti Selamat Hari Jadi Su II, Senja Belum Berakhir, Dajal Suci, Mata Hati dan Gincu Ayah.
Berita itu turut dikongsikan penyampai radio Suria FM iaitu Sharifah Shahirah melalui Instagram pagi tadi.