Ada “Frog Warrior” (pahlawan katak) dengan slogan “menang kita stay, kalah kita lompat”. Ada lembaga membawa ikan bertali pinggang “SPR”.
Lukisan-lukisan ini pasti mengganggu sesetengah orang dengan sindirannya yang pedas.
Bagaimanapun, ekspresi politik itu menjadi pilihan Syukur Rani, sekurang-kurangnya bagi pameran solo pertamanya “We Need No Superhero” (kita tidak perlukan adiwira).
Dalam pameran ini yang berlangsung antara 10 hingga 24 April di sebuah galeri di Petaling Jaya, “We Need No Superhero” cuba mengetengahkan pengorbanan rakyat biasa yang bertahan dalam pandemik demi kelangsungan hidup.
Syukur turut menyoal harapan tipis dalam penantian “penyelamat politik”.
“Kenapa temanya We Need No Superhero? Kita sebagai rakyat biasa, adakalanya kita perlu hidup dan bertahan tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
“Terutama sekali macam situasi pandemik sekarang, kita tidak boleh mengharap sangat orang atasan dan tidak boleh menagih simpati juga.
“Kadang-kadang kita anggap ahli-ahli politik ini sebagai superhero (adiwira) kita, pun tidak boleh juga,” tambahnya.
Syukur menampilkan tujuh keping lukisannya melalui paparan kanvas dalam pameran ini - untuk menterjemah hal ehwal rakyat biasa dan sikap ahli-ahli politik semasa pandemik khususnya
Sebelum ini, Syukur pernah menghasilkan siri lukisan yang memaparkan karakter adiwira yang menjadi idola semua.
Dalam siri terbarunya ini, umpamanya melalui lukisan berjudul The Breadwinner (si pemberi rezeki), Syukur memaparkan satu lembaga membawa ikan untuk diberikan kepada seseorang ataupun orang ramai.
Enggan mengulas secara khusus, dia berkata, watak dalam lukisan itu boleh jadi seorang superhero mahupun anti-hero.
‘Ikan itu rezeki, asap itu rakyat’
Katanya, ikan adalah simbol “rezeki” dan asap umpama rakyat atau penyokong sesuatu parti yang kehadirannya datang dan pergi.
Selain itu, terdapat juga lukisan yang menyentuh gambaran mengenai sikap segelintir ahli politik dan rakyat yang melompat-lompat demi penambahbaikan taraf kehidupan ataupun pangkat mereka.
“The Frog Warrior dengan slogan ‘menang kita stay, kalah kita lompat’ mentafsirkan keadaan yang berlaku sekarang di mana kalau kita boleh lihat dari segi politik ada ramai yang melompat-lompat parti kononnya dengan alasan untuk terus bertahan.
“Begitu juga dengan rakyat biasa yang terpaksa melompat-lompat kerja kalau inginkan gaji yang banyak atau bagus.
“Bagaimanapun, setiap karakter itu terpulanglah kepada setiap individu nak tafsirkan macam mana,” kata Syukur ketika ditemu bual.