Penyanyi Najwa Latif akan kembali dengan single terbaru sempena hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Penyanyi yang mula mencipta nama melalui saluran Youtube itu memberitahu Malaysiakini, dia sekarang dalam proses menyiapkan single itu, yang tajuknya masih dirahsiakan.
Selain itu, pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif itu juga akan mengeluarkan satu lagi single, dijangka pada Jun atau Julai depan.
Sementara itu, mengulas hasrat sesetengah peminat supaya dia dan penyanyi rap, Akwa Arifin yang berharap mereka disatukan, Najwa menegaskan mereka hanya terlibat dalam hubungan profesional sesama artis.
“Setakat ini, saya dan Akwa Arifin berkawan, kami profesional sahaja.
“Saya berkenal dengan orang tetapi saya masih single,” kata wanita 25 tahun itu ketika ditanya tentang statusnya.
Adaptasi norma baru
Sementara itu, Najwa berkata, seperti juga orang lain, dia juga sedang “beradaptasi” ketika berdepan norma baru akibat Covid-19.
Pensyarah sebuah universiti swasta itu bagaimanapun mengaku masih ada kesukaran, antaranya dalam sesi pengajaran dengan pelajarnya.
“Masih ada kesukaran kerana tidak dapat berjumpa secara bersemuka.
“Misalnya masalah dari segi komunikasi, masalah capaian Internet di mana saya perlu lebih memahami pelajar saya,” katanya
Anak ketiga dari empat adik beradik itu bagaimanapun berkata dia tiada masalah menyusun aktiviti sebagai penyanyi dan pensyarah.
“Setakat ini tiada masalah, pengurus saya akan pilih tarikh yang sesuai untuk melakukan aktiviti saya sebagai penyanyi,
“Saya perlu menjaga banyak pihak dari segi tugas sebagai pengajar, jadi kami cuba untuk mengurus masa itu sebaik mungkin,” katanya.