Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Haliza sah bergelar isteri warga British
Diterbitkan:  Apr 10, 2021 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Haliza Misbun selamat bergelar isteri kepada duda anak satu, Matthew John Rodgers dengan sekali lafaz dalam satu majlis berlangsung di Masjid Ar Rahah, Kerinchi kira kira jam 5.25 petang hari ini.

Pernikahan Haliza dengan lelaki warga British yang juga perunding teknologi maklumat di sebuah syarikat antarabangsa berkenaan sekali gus melenyapkan teka teki mengenai status sebenar pelakon mencipta populariti drama bersiri Cinderella pada pertengahan 1990-an itu.

Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), majlis membabitkan pasangan sebaya berusia 48 tahun ini berlangsung dengan hanya 50 orang saja tetamu dijemput.

Haliza menerima mas kahwin RM80 selain wang hantaran berupa sebuah rumah sebagai simbolik membina keluarga baru pada majlis serba ringkas dan intim itu.

Haliza turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tiga daripada pihak pengantin lelaki.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Cerai Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi, Ustaz Mohd Lazim Khairudin dan berwalikan adik lelaki Haliza, Othman Misbun.

"Ini perkahwinan pertama saya. Alhamdulilah. Selama ini saya tahu ada yang sangsi dan berteki dengan status diri saya. Termasuk ada yang menyangka saya sudah berkahwin.

"Tapi hari ini saya bersyukur segala yang dinantikan saya sudah hampir sempurna. Kehadirannya melengkapi kehidupan ini. Insya-Allah," katanya.

Menceritakan detik permulaa kisah romantis mereka, Haliza, berkata, hubungannya dengan suami terjalin sejak hampir empat tahun lalu.

"Dia sudah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu. Kami kenal menerusi kawan. Pertemuan di sebuah restoran di Damansara Heights ketika keluar bersama kawan yang lain memutik rasa jatuh cinta.

"Malah selepas setahun akrab, dialah lelaki pertama yang saya berani bawa berjumpa keluarga. Saya rasa yakin dengan kesungguhannya dan kami mula terbuka dalam pelbagai aspek.

"Pengalaman hidup masing masing mematangkan diri barangkali menjadi faktor keserasian itu mudah diperolehi," katanya.

Pada majlis berlangsung, Haliza mengenakan busana rekaan teman baik sendiri, Sutex atau nama sebenarnya, Mansor Harun.

Adiknya, Rozana Misbun juga menjadi pengapit. Sejurus selesai majlis akad nikah, mempelai turut diraikan di sebuah dewan di lokasi sama.

Haliza juga memberitahu, suaminya turut melakukan strim langsung di halaman Facebook untuk berkongsi detik bahagia itu bersama keluarga rapat di England.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS