Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis sahkan Neelofa ke Langkawi atas urusan kerja
Diterbitkan:  Mar 30, 2021 11:57 PM
Dikemaskini: Mar 31, 2021 7:09 AM

Syarikat Chatime Malaysia mengesahkan pasangan selebriti Neelofa dan Haris Ismail atau PU Riz sedang menjalankan lawatan kerja di Langkawi ketika ini.

Kenyataan itu sekali gus menepis dakwaan pasangan tersebut melakukan kesalahan merentas negeri selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurut Pengurus Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali, untuk makluman, Neelofa dan Muhammad Haris sedang menjalankan lawatan kerja tiga hari di Zon Utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah serta Perlis.

“Ia bagi tujuan pembukaan cawangan baru Chatime di Zon Utara.

“Lawatan itu juga membabitkan beberapa kakitangan dari bahagian operasi dan pengurusan Chatime Malaysia.

“Kebenaran merentas negeri telah diperoleh daripada balai polis berdekatan mengikut SOP ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Sementara itu, BH Online melaporkan polis Daerah Brickfields mengesahkan memberi kebenaran kepada selebriti Neelofa dan tiga yang lain untuk bergerak ke Pulau Langkawi atas urusan kerja dan bukan untuk berbulan madu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April ini.

Menurutnya, berdasarkan permohonan wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di Kuala Lumpur, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua yang lain adalah atas urusan kerja bersama pihak Chatime Malaysia.

"Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah untuk urusan kerja.

"Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya.

Justeru, katanya, ditegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu.

Menurutnya, sekiranya terbukti kehadiran Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis di sana boleh mengambil tindakan kerana melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sejak semalam, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris, berada di Langkawi tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu.

Malaysiakini hari ini melaporkan imej tersebut yang diedar sekadar suka-suka oleh seorang peniaga jus mangga tidak dijangka mencetuskan polemik dalam kalangan netizen.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada 27 Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS